KUALA LUMPUR – Agrobank meluaskan rangkaian cawangannya di Sabah dengan pembukaan cawangannya yang ke-139 di Beluran hari ini.
Pembukaan cawangan ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Selain faktor ekonomi dan kegiatan pertanian serta industri pemprosesan makanan di Beluran khususnya menerusi sub-sektor tanaman, perikanan dan penternakan seperti perusahaan burung walit, Beluran dipilih sebagai lokasi terbaharu Agrobank membuktikan komitmen bank ini dalam memenuhi mandat yang telah didukung untuk membantu membangunkan golongan yang tidak mendapat perkhidmatan khususnya di kawasan luar bandar.
Ronald berkata, kegiatan ekonomi penduduk dapat dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang holistik dan mampan.
Dari 1 Januari 2021 hingga 31 Oktober 2021, Agrobank telah meluluskan sejumlah RM191 juta kelulusan pembiayaan di Sabah.
Daripada jumlah itu, RM2.8 juta pembiayaan terkumpul telah dicatatkan di Kawasan Beluran yang telah memanfaatkan seramai 90 orang penerima
pembiayaan.
Ronald turut memuji langkah proaktif Agrobank membuka sebuah lagi cawangan di Sabah kerana sebelum ini penduduk di Beluran terpaksa ke Sandakan yang mana jarak perjalanannya adalah sejauh 82 kilomter.
Faktor jarak ini ternyata menyukarkan penduduk Beluran untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan yang holistik seperti pembukaan akaun bank, perkhidmatan pembiayaan berasaskan pertanian dan pengguna, ATM dan CDM serta takaful. – MalaysiaGazette