Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Parti komponen Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (Amanah) mengesyorkan agar gabungan itu mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, langkah itu dibuat sekiranya golongan kleptokrat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Amanah ingin menegaskan sekiranya golongan kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri, maka Amanah akan mengesyorkan supaya PH mengkaji kembali keabsahan MoU yang telah ditandatangani.

“Bagi kami, kemungkinan golongan kleptokrasi kembali adalah hasil dari tindakan khianat politik melalui langkah Sheraton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, langkah itu diambil kerana Amanah memperjuangkan sifat integriti dalam politik yang semakin terhakis dalam kerajaan hari ini.

“Sifat ini kami anggap sifat penting dan paksi kepada kebangkitan ummat dan negara,” katanya lagi.

Pada September lalu, kerajaan dan PH menandatangani (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang berkuat kuasa bermula dokumen itu ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14.

Ia terkandung dalam tempoh dalam dokumen MoU yang boleh didapati di https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/bkk/MOU.pdf.

Menerusi dokumen itu di bawah perkara persefahaman pihak-pihak, kerajaan bersetuju tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sehingga 31 Julai 2022.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata PH tidak akan teragak-agak untuk menarik diri sekiranya kerajaan tidak melaksanakan perkara yang dipersetujui dalam MoU yang sama.

Hassan berkata, terdapat klausa keluar daripada MoU tersebut sekiranya kerajaan ingkar dan tidak mematuhi semua terma perjanjian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast