KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya bakal-bakal jemaah haji negara ini melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Menurut beliau, para jemaah juga harus terbuka dengan cara-cara baharu untuk menunaikan ibadah itu.
“Jika dilihat pada musim haji tahun 2019 dan 2020, kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian bermula daripada permohonan haji sehingga pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih.
“Saya difahamkan sejak 2019, Tabung Haji terus menerus mempergiatkan inisiatif digitalisasi termasuk lah program latihan para pengkursus serta program bimbingan bakal-bakal haji seperti Kursus Asas Haji, Kelas Intensif Tafaqquh Haji dan Umrah, serta Muzakarah Haji menerusi platform dalam talian.
“Justeru dalam situasi pandemik, cara pembelajaran secara dalam talian bukan sahaja seiring dengan keperluan zaman teknologi malah sudah menjadi sebahagian daripada norma baharu kehidupan hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji 1443H di Menara Tabung Haji (TH), Jalan Tun Razak hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Pada majlis tersebut, Idris turut melancarkan aplikasi e-TAIB iaitu sebuah aplikasi yang dibangunkan oleh TH untuk memudahkan urusan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum hakam dan perjalanan ibadat haji semasa berada di Tanah Suci melalui perbualan langsung (live chat) bersama guru-guru agama.
Selain itu, TH juga akan membangunkan sistem haji e-learning dengan peruntukan hampir RM3 juta mulai bulan ini dan ia merupakan sebuah inisiatif digitalisasi seperti terkandung dalam kerangka kerja haji 2021-2025.
Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan akan terus menyokong segala usaha meningkatkan kefahaman ummah terhadap pelaksanaan manasik haji sama ada daripada segi hukum hakam mahu pun segi maqasid syariah dan segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Selain SOP yang ketat, saya juga ingin mengingatkan semua bakal haji supaya bersedia dengan sebarang peningkatan bayaran haji kerana kerajaan Arab Saudi berkemungkinan akan mengenakan caj tambahan dengan mengambil kira keperluan logistik yang perlu mereka disediakan selari dengan amalan norma baharu,” ujarnya. – MalaysiaGazette