Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Penggunaan ketum dan kanabis dalam perubatan masih lagi dikaji dan akan dipertimbangkan penggunaannya jika ia dibuktikan berkesan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pada masa ini, kerajaan belum memperoleh bukti saintifik mengenai keberkesanan penggunaan kedua-dua tumbuhan itu.

Katanya, sebanyak enam kajian pra kilinikal telah dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenai ketum.

“Antara kajian itu adalah mengenal bahan kimia dalam ketum dan kajian keselamatan bagi menentukan sama ada ekstrak perubahan mutlak material genetik dalam sel.

“Kajian ini mendapati ketum selamat digunakan dalam jangka masa pendek.

“Turut dilaksanakan adalah kajian keberkesanan ekstrak anti malaria dan mutagenik yang menjadi punca pesakit kanser namun setakat ini ekstrak ketum belum dapat memasuki fasa kajian klinikal kerana kajian keselamatan perlu dilakukan dan masalah utama adalah mendapatkan bahan mentah tetap daripada pembekal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, setakat ini tiada sebarang kajian dilakukan oleh kementeriannya membabitkan kanabis.

Ujarnya, kajian dua bahan itu juga terikat dengan yang sedia ada dan ia belum mencukupi untuk merombak semula undang-undang dan akta yang ada.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan penemuan bukti baharu yang menjelaskan kebaikan kedua-dua bahan berkenaan sekali gus akan mengubah akta dan undang-undang pada masa depan.

“Saya percaya kerajaan akan meneruskan kajian dan melihat pada dapatan kajian itu. Sekiranya ia mendatangkan lebih banyak kebaikan, jadi kita boleh buat undang-undang supaya kita dapat gunakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan menyelaraskan semula keperluan pembelian ubat antiviral bagi rawatan pesakit Covif-19.

Katanya, ia berikutan perkembangan terkini menunjukkan syarikat AstraZeneca dan Pfizer mengumumkan mengeluarkan ubat khusus untuk rawatan Covid-19.

“Pembelian itu mengikut jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan iaitu sebanyak RM172 juta,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mencelah penggulungan membangkitkan kebimbangan mengenai longgokan pembelian ubat antiviral Covid-19 kepada satu syarikat sahaja.

Dr Noor Azmi menjelaskan, pengumuman pembelian ubat antiviral pada masa itu adalah kerana hanya ubat Molnupiravir diumumkan oleh UK Medicine and Healthcare Products Regulatory Agencies sebagai ubat antiviral untuk merawat Covid-19. – MalaysiaGazette