Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengambil tindakan termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta jika didapati bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peringatan itu diberikan selepas presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman rasmi bahawa tiada calon akan bertanding dan hanya membantu memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Perlembagaan PPBM menyatakan bahawa mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas.

“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut menyeru semua ahli PPBM untuk sama-sama berganding bahu memastikan kemenangan besar buat rakan kita GPS dalam PRN ini.

“Mari kita gunakan keberadaan kita untuk membantu kemenangan rakan sepasukan,” katanya.

PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 3 November lalu.

Dun Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu terpaksa ditangguhkan kerana keadaan Covid-19 dan Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan.

Sebanyak 82 kerusi akan menjadi rebutan pada PRN Sarawak kali ke-12 ini. – MalaysiaGazette