Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sektor pertanian muncul sebagai sektor kedua terpenting perdagangan Malaysia pada 2020 dengan sumbangan 6.8 peratus, mengatasi perdagangan hasil perlombongan, menurut laporan Malaysia Trade Statistics Review (MTSR) 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Malaysia menyumbang masing-masing 25.8 peratus dan 34.3 peratus kepada pengeluaran dan eksport minyak kelapa sawit dunia pada 2020.

Negara destinasi utama eksport minyak kelapa sawit Malaysia adalah ke India, China dan Kesatuan Eropah.

Menurutnya, Malaysia pernah menjadi pengeluar getah asli utama dunia pada 1930-an, namun pada 2020 eksport getah asli Malaysia hanya bernilai RM3.3 bilion, 0.3 peratus daripada jumlah eksport.

Malaysia telah mendapat manfaat daripada pandemik Covid-19 apabila muncul sebagai pengeluar utama sarung tangan getah dunia pada 2020 dengan eksport berjumlah RM35.9 bilion, meningkat 104.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang kepada peningkatan import getah asli.

”Sektor pertanian pernah menjadi penyumbang utama ekonomi Malaysia bersandarkan kepada komoditi getah, namun pada 1980-an, sektor pembuatan muncul sebagai peneraju dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru, diikuti oleh kebangkitan ekonomi berasaskan perkhidmatan pada 1990-an seiring dengan arus pembangunan negara.

”Sumbangan keluaran pertanian kepada jumlah dagangan Malaysia pada 1990 ialah 13.7 peratus, merosot kepada 6.8 peratus pada 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, produk pertanian eksport utama Malaysia pada 2020 terdiri daripada minyak kelapa sawit, kayu balak, kayu gergaji & kayu kumai dan getah asli.

Sementara itu, Malaysia mengimport terutamanya bijirin, getah asli dan minyak kelapa sawit.

Destinasi utama eksport barangan pertanian Malaysia ialah China, Kesatuan Eropah, dan India, manakala produk pertanian kebanyakannya diimport dari Indonesia, China dan Thailand.

”Walaupun sumbangan sektor pertanian secara relatifnya kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia semakin mengecil dari tahun ke tahun, sektor ini malar signifikan terutamanya sebagai pembekal utama makanan serta bahan mentah kepada industri
berasaskan sumber.

”Sehubungan itu, usaha penyelidikan perlu dipertingkatkan ke arah teknologi mampan untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti barangan berasaskan pertanian, seterusnya memenuhi keperluan penduduk dan permintaan pasaran dunia,” katanya. – MalaysiaGazette