Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Kata Presiden PKR itu, walaupun pandemik Covid-19 masih belum berakhir namun SOP yang dibuat SPR mencerminkan proses pilihan raya menjadi tempang.

“Setelah membaca SOP terbaru yang dikeluarkan oleh SPR, saya sangat kecewa. Mereka pernah berkata akan melakukan kajian terhadap SOP yang akan diperkenalkan. Malangnya, setelah PRN Melaka selesai, kajian itu tidak diterbitkan.

“Seharusnya SPR mengambil langkah produktif dengan melakukan perbincangan dengan semua wakil parti politik yang bakal bertanding pada PRN Sarawak,” katanya dalam satu kenyataaan hari ini.

Semalam, SPR mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 yang hanya membenarkan penganjuran ceramah secara fizikal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mencapai jaringan internet sahaja.

Menurut SPR, terdapat 64 DUN yang dikenal pasti mempunyai kadar liputan 4G yang rendah di kawasan berpenduduk.

Menerusi SOP tersebut, SPR berkata, penganjur, urus setia, calon serta penceramah perlu membuat kit ujian pantas (RTK) kendiri sebelum mengadakan ceramah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, SPR sepatutnya mengambil langkah lebih produktif dengan melakukan perbincangan atau mesyuarat dengan semua wakil-wakil parti politik yang bakal bertanding di PRN Sarawak yang bermula hari ini.

“Perbincangan yang kritikal terhadap elemen-elemen yang terdapat di dalam SOP ini perlu dilakukan. Saya tidak melihat ada sebab yang konkrit – termasuklah fakta-fakta berasaskan bukti perubatan dalam SOP terbaru ini.

“Apa perkembangan terbaru tentang jaminan akses sama rata kepada pihak media untuk semua parti politik dan calon?” soal Anwar lagi.

Menerusi SOP tersebut, SPR berkata, penganjur, urus setia, calon serta penceramah perlu membuat kit ujian pantas (RTK) kendiri sebelum mengadakan ceramah.

Hanya individu yang telah lengkap divaksin dibenarkan hadir, termasuk penganjur, urus setia, penceramah dan peserta malah penganjur diwajibkan untuk menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk menyemak bilangan kehadiran, status vaksinasi, pemeriksaan suhu badan, saringan gejala seperti batuk, sakit tekak, selsema dan sesak nafas.

Mana-mana peserta dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau bergejala tidak dibenarkan masuk.

Selain itu SPR menjelaskan, penganjur perlu mendapatkan permit daripada pihak polis sebelum mengadakan ceramah yang tidak melebihi dua jam dan harus dihentikan sebelum jam 10 malam.

Malah satu-satu ceramah hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang. – MalaysiaGazette