Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilihat tidak ada banyak tindakan susulan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, banyak perkara yang melibatkan CPTPP masih dilihat atas angin, apatah lagi daripada sudut kajiannya dan juga kandungan perjanjian perdagangan.

“Saya ambil kesempatan ini untuk bertanya kepada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memberikan penerangan terhadap kemaskini perjanjian CPTPP.

“Di sini juga kita tidak mampu untuk memberikan apa jua pandangan spesifik terhadap CPTPP ini seandainya tiada sebarang penjelasan yang menyeluruh terhadap CPTPP ini,” katanya dalam ucapan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, kerajaan Malaysia harus memberikan kemaskini terhadap isu CPTPP dengan penjelasan yang menyeluruh agar rakyat dapat menilai terus usaha ini.

“Perkara ini juga termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) atau MUEFTA yang baru-baru ini baru dihangatkan Kembali,” katanya.

CPTPP merupakan perjanjian perdagangan moden yang menyatukan 11 negara di kedua-dua belah Pasifik; Kanada, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Walaupun Malaysia menandatangani perjanjian itu pada 2018, kerajaan masih belum meratifikasi CPTPP.

Pada November lalu, Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) menyatakan bahawa ratifikasi awal itu akan membantu pengeksport Malaysia untuk mendapatkan akses keutamaan pasaran dalam kalangan negara CPTPP untuk kekal berdaya saing berbanding pesaing serantau.

Dua daripada pesaing serantau Malaysia iaitu Singapura dan Vietnam sudah pun mendapat manfaat daripada keahlian CPTPP dengan mengguna pakai strategi teguh yang bertujuan untuk mengukuhkan daya tahan dan kemampanan ekonomi mereka.

CPTPP turut dilihat dapat meningkatkan perdagangan luar dan memperkukuh pelaburan langsung asing (FDI) jangka sederhana hingga panjang di Malaysia dengan mengurangkan kos import dan eksport. – MalaysiaGazette