KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan atau Rnaught (Rt) penularan Covid-19 di dalam negara berdasarkan kes positif harian setakat semalam sebanyak 0.99.
Walaupun paras Rnaught masih terkawal bawah paras 1.00 pada peringkat nasional namun Perlis merekodkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi iaitu 1.13 berbanding negeri-negeri lain.
Dalam kenyataan terkini perkembangan Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga lagi negeri turut melaporkan kadar Rnaught paras 1.00 iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Perak.
“Manakala empat negeri yang mencatatkan kadar Rt di bawah paras 1.00 iaitu 0.99 adalah Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Labuan.
“Manakala Kedah telah merekodkan kadar Rnaught 0.98 sementara tiga lagi negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan merekodkan kadar kebolehjangkitan 0.97,” katanya.
Tambah Dr. Noor Hisham, sebuah lagi negeri Pantai Timur iaitu Kelantan mencatatkan bacaan Rt 0.94 manakala Sabah merekodkan Rt 0.91.
Dalam pada itu Wilayah Persekutuan Putrajaya pula merekodkan nilai Rt 0.89.
“Negeri Sarawak satu-satunya negeri yang mencatatkan nilai kadar kebolehjangkitan yang terendah negara iaitu 0.74,” ujarnya. – MalaysiaGazette