Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee beramah mesra bersama penerima Anugerah Pelajar Cemerlang NEKMAT pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) kali ke-36 di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 DESEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bantuan dan sokongan akan terus diberikan kepada pengeluar makanan yang meliputi golongan nelayan dan penternak akuakultur kerana mereka merupakan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem makanan.

“Dalam Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.82 bilion kepada MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan).

“Secara khususnya, MAFI akan menerima RM1.7 bilion bagi pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-13, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Bagaimanapun Ronald berkata, sektor agromakanan tentu sekali berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya pasca pandemik Covid-19 yang mesti ditangani secara bersama bagi memastikan kemampanan sektor tersebut.

Antara cabaran-cabaran itu katanya, termasuk kos input pertanian dan pengeluaran yang semakin tinggi, manipulasi orang tengah dalam rantaian pemasaran, kekurangan pelaburan swasta, peningkatan kos buruh, kebergantungan kepada pekerja asing, kekurangan penglibatan belia, tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), aplikasi Internet of Things (IoT) dan pertanian pintar yang rendah, persaingan guna tanah dan sebagainya.

Tambahnya, subsektor perikanan turut tidak terkecuali daripada cabaran-cabaran tertentu walaupun ia telah mencapai tahap sara diri (SSL) melebihi 90 peratus secara konsisten dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Ujarnya, perubahan iklim, pengurangan sumber asli, penangkapan yang berlebihan dan isu nelayan asing tanpa izin adalah antara cabaran yang boleh menjejaskan prestasi subsektor berkenaan pada masa hadapan sekiranya tidak ditangani.

“Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk NEKMAT, Persatuan Nelayan Negeri serta Persatuan Nelayan Kawasan bersama-sama dengan kerajaan bergerak ke hadapan dengan tahap kesiapsiagaan tinggi bagi mendepani cabaran-cabaran ini di sepanjang rantaian nilai.

“Saya yakin di bawah kepimpinan yang sedia ada, NEKMAT akan terus diperkasakan menjadi sebuah institusi yang kompeten dan berdaya saing di setiap peringkat menyokong agenda sekuriti makanan negara selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama
2030,” katanya. – MalaysiaGazette