Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Hoki Asia (AHF) memberi pengiktirafan khas kepada skuad Hoki Projek Khas Wanita negara yang sedang beraksi di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita (ACT) di Donghae, Korea Selatan.

Anugerah Pengiktirafan Khas itu diberikan sebagai penghormatan kepada Malaysian Tigress atas dedikasi, usaha, kesanggupan dan kerjasama mereka menyertai kejohanan walaupun tidak dibenarkan beraksi dalam dua perlawanan berdepan China dan India, selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19.

“Ia adalah minggu yang sukar buat atlet dan pasukan Malaysia yang telah membuat persiapan rapi selama berbulan-bulan dan mengembara ke Donghae, Korea Selatan untuk saingan Trofi Juara-juara Asia.

“Susulan keadaan tidak diduga, pasukan Malaysia tidak dapat mengambil bahagian pada hari pertama dan kedua kejohanan itu.” menurut AHF dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lepas (5 Dis), skuad hoki wanita kebangsaan tidak dibenarkan turun menentang China oleh penganjur selepas seorang daripada pemain negara disahkan positif Covid-19 ketika ketibaan pada 29 Nov, yang menyebabkan seluruh pasukan negara dikuarantin sejak 1 Dis.

Malaysia juga terlepas perlawanan kedua berdepan India semalam, tapi akan berdepan Jepun esok, diikuti Korea Selatan (9 Dis) dan Thailand (11 Dis) dalam saingan enam pasukan itu.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah kedudukan pingat gangsa pada edisi 2013, manakala pada edisi 2018, skuad The Malaysia Tigress menamatkan saingan di tempat keempat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast