Sebahagian dari ribuan penganut Hindu yang hadir bagi melaksanakan ritual keagamaan sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Beberapa cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Thaipusam telah diterima, antaranya tidak membenarkan sebarang perarakan membawa ‘kavadi’ serta ritual mandi di sungai secara berkumpulan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, SOP perayaan tersebut hanya diluluskan menerusi tiga mesyuarat pada 13 hingga 15 Disember ini.

“Pertama, Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad yang dijangka diadakan pada 13 Disember 2021.

“Kedua, Mesyuarat Kuartet Menteri yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dijangka diadakan pada 14 Disember 2021.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka pada 15 Disember 2021.

“Setelah mendapat keputusan mesyuarat, surat makluman kelulusan SOP akan dihantar kepada pemimpin-pemimpin agama dan kenyataan media disediakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan SOP yang telah dirangka untuk sambutan Hari Thaipusam pada 18 Januari 2022.

V Sivakumar ingin mendapatkan maklumat terperinci mengenai aktiviti dan upacara keagamaan dalam Sambutan Perayaan Thaipusam.

Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique

Halimah berkata, cadangan SOP tersebut dirangka hasil sesi libat urus pada 2 Disember lalu yang dihadiri 10 pemimpin agama Hindu dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Antara cadangan yang dikemukakan adalah membenarkan upacara sembahyang mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dan membenarkan perarakan kereta berhala ‘silver chariot’ tertakluk kepada beberapa ketetapan iaitu tidak melakukan sebarang persinggahan di mana-mana lokasi.

“Penganut yang meraikan Thaipusam turut dibenarkan membawa ‘paal koodam’ (belanga berisi susu) dan mencukur rambut namun dihadkan kepada 50 orang sahaja pada satu-satu masa selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi sebelum sesi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, hanya penerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan dan bilangan dihadkan tidak melebihi 50 orang.

“Pihak pengurusan kuil hendaklah menyediakan laluan khas kepada pembawa ‘Paal Koodam’ dengan pengiring atau kumpulan muzik tidak dibenarkan.

“Pembawa ‘Paal Koodam’ juga digalakkan membuat pendaftaran dengan pihak Pengurusan Kuil terlebih dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette