RASANYA masih belum terlambat saya ingin mengucapkan tahniah kepada Abang Sallehuddin yang dilantik sebagai Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat kali kedua! Nama beliau sudah disebut-sebut akan dilantik sebagai KP semula, semua orang sudah tahu!

Beliau memang seorang yang layak! Jasa beliau cukup banyak dalam memajukan Bahasa dan Sastera tanah air kita! Ada orang kata beliau tidak layak kerana tidak mampu menjawab isu bahasa dan sastera apabila timbul. Contohnya isu, penggunaan nama tuhan (huruf besar atau kecil)! Walaupun beliau tidak mampu menjawab dan juga bukanlah seorang yang biasa membentangkan kertas-kertas kerja utama atau idea-idea dalam bahasa dan sastera, tetapi beliau sangat berbakat dalam bidang pengurusan.

Berita sesudahnya beliau dilantik sebagai KP, DBP sudah menghadiahkan tv 65 inci kepada setiap bahagian di DBP! Khabarnya jumlah belanja ini melebihi RM300,000. Di kala semua orang terjejas akibat PKP, beliau dengan bijaksana mengawal perbelanjaan DBP dan dapat menghadiahkan kepada staf.

TV Android ini penting kepada staf, ini kemudahan untuk mereka. Penjagaan kebajikan ini satu perkara yang dipuji! Jika staf stres bekerja, dapatlah tengok TV di bahagian. Android pula tu, NEflix mesti menjadi tontonan! Khabarnya akan dibekalkan laptop pula kepada setiap staf selepas ini.

Paling diingati jasa beliau semasa hari-hari terakhir beliau sebagai KP DBP, penyampaian hadiah inovasi Ketua Pengarah DBP 2021/2021. Pemenang hadiah utama Inovasi 2020/2021 jatuh ke projek “Pelantar Digital DBP”. Cuba lihat ulasan di bawah:

“Selain itu, usaha gigih Jabatan Penerbitan dalam menghasilkan inovasi, mereka bentuk suatu platform digital menjadi wahana untuk DBP menempatkan bahan-bahan penerbitan digital DBP di bawah “satu bumbung” di samping mempromosikan dan memasarkan sendiri produk penerbitan DBP telah membuahkan hasil dengan dinobatkan sebagai pemenang pelantar digital DBP (JendelaDBP) dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2020/2021 pada hari ini”

Tahniah kepada beliau kerana memilih projek ini. Mungkin ada orang mengata mengapa projek ini dipilih? Bukankah idea digital satu bumbung ini sudah ketinggalan, 10 tahun lepas atau 20 tahun lepas mungkin boleh diterima. Tapi mengapa sekarang dianggap inovasi, sudah ketinggalan ke orang DBP ini? Tetapi bagi saya pemilihan ini layak, jika tak dibuat sekarang, bila lagi?

Terbaru, idea beliau supaya buku-buku terbitan DBP dilupuskan dari tahun 2019 ke bawah supaya dapat mengosongkan stok DBP juga merupakan idea bijak. Apabila buku-buku tersebut tidak dapat dijual buat apa simpan lagi, elok sahaja dijual timbang kilo dan fokus kepada penerbitan buku baru. Saya tak tahu sampai mana idea beliau ini dilaksanakan, mungkin selepas beliau dilantik semula sebagai KP lagi, idea ini akan diteruskan.

Beliau juga jenis yang mementingkan kebajikan staf-staf bawahan. Lihat contoh, beliau telah memansuhkan syarat keperluan mempunyai ijazah sarjana dan syarat pembentangan kertas kerja di luar kepada calon pengarah! Cadangan ini telah dilaksanakan. Pada zaman sekarang, bukan sahaja kelayakan akademi yang diperlukan, tetapi pengalaman seseorang dalam bidang tersebut. Atas perubahan ini, kawan-kawan beliau telah diterima dan dilantik sebagai pengarah.

Teringat kisah-kisah beliau semasa baru dilantik sebagai KP. Waktu itu, pemilihan beliau disokong oleh Prof. Hatta, ialah supaya mudah PLP mencampuri urusan DBP. Apa idea beliau apabila dilantik sebagai KP.

Pertama, mencadangkan melupuskan jualan majalah Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat. Majalah ini akan diberi secara percuma dalam bentuk fizikal dan dalam bentuk digital secara percuma! Kesannya, majalah ini sudah tidak dapat dibeli di kedai-kedai lain dan untuk mendapatkannya di kedai buku terhad kerana cetakannya kurang dan kedai-kedai buku lain juga tidak menjual dua majalah utama DBP ini.

Eloklah, orang-orang tua dan lama ini kembali beralih ke digital. Sampai bila nak cetak fizikal lagi. Tahniah KP! Oh, seperkara lagi. Teringat bertapa lembutnya hati beliau, beliau mudah ditekan-tekan oleh Mazlee dan pengikut-pengikutnya semasa menjadi menteri, hampir semua arahan menteri ini diikuti. Ingat lagi projek 26 buah buku Sasterawan Negara Edisi Malaysia Membaca. Itu, atas arahan pegawai khas Mazlee, beliau menyuruh projek penyediaan 26 kulit buku tersebut diberi secara terus kepada Mutalib Uthman. Lihat betapa beliau bersikap terbuka dan memudahkan, projek yang sepatutnya dibuat berdasarkan prosedur, diberi terus kepada Mutalib. Ini sikap yang tidak berdasarkan birokrasi dan memudahkan.

Sekali lagi ucapan tahniah kepada Abang Sallehuddin. Beliau memang layak dilantik sebagai KP dan masih kuat lagi. Mungkin 5 tahun lagi.

 

Anon