KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pelaksanaan saringan ujian Covid-19 di semua sekolah bawah kementerian ini perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.
Penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 November 2021.
Katanya, berdasarkan surat siaran tersebut, pelaksanaan ujian kendiri ini hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM. Pelaksanaan ujian kendiri ini dibuat oleh murid dengan pemantauan guru.
Mengulas mengenai gambar yang tular dalam media sosial bertajuk “Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar”, KPM berkata, pihaknya telah membuat siasatan dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 di sebuah sekolah di negeri Pahang.
Secara keseluruhan, seramai 16 murid telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan itu menggunakan kit ujian air liur.
Walau bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat orang guru dan empat orang murid yang dibimbing oleh dua orang Jururawat Masyarakat, katanya. – MalaysiaGazette