Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Unjuran bagi bank di Asia Pasifik (APAC) pada 2022 dijangka kekal stabil berikutan harga komoditi yang tinggi adalah baik untuk bank di negara pengeksport komoditi seperti Indonesia dan Malaysia, selain hab kewangan perdagangan seperti Singapura dan Hong Kong, menurut Moody’s Investors Service Inc.

Memetik laporan terkininya, agensi penarafan kredit itu bagaimanapun menjangka bank di pasaran Asia sedang pesat membangun akan kekal lebih terdedah kepada risiko peralihan karbon berbanding di pasaran maju, kerana ekonomi pasaran sedang pesat membangun kurang dipelbagaikan dengan industri berkaitan komoditi yang besar.

“Terdapat juga kelaziman mengenai pendedahan korporat dalam rekod pinjaman. Pengawal selia APAC akan memperkenalkan lebih banyak peraturan untuk menyokong dan membimbing bank dalam peralihan ini,” katanya menerusi kenyataan hari  ini.

Secara keseluruhannya, Moody’s menjangka pemulihan ekonomi di APAC akan kukuh pada 2022 berikutan kesan pandemik yang berkurangan, sekali gus menyokong kepercayaan kredit bank meskipun pada tahap pemulihan yang tidak sekata yang menyaksikan ekonomi pelbagai dan negara dengan kadar vaksinasi lebih tinggi akan pulih lebih cepat.

“Hampir separuh daripada ekonomi APAC akan menyaksikan peningkatan semula pertumbuhan seperti pada tahun-tahun sebelum pandemik,” katanya.

Dari segi dasar monetari, Moody’s mengunjurkan ia kekal akomodatif atau neutral bagi kebanyakan ekonomi APAC pada 2022.

“Bagaimanapun, sebahagian bank pusat mungkin meningkatkan kadar faedah di tengah-tengah inflasi yang tinggi dan kurangnya gangguan disebabkan pandemik

“Meskipun paras hutang swasta adalah tinggi, secara umumnya kadar faedah rendah dan pemulihan ekonomi yang meluas akan menyokong kapasiti bayaran balik hutang oleh peminjam bank,” katanya.

Sementara itu, Moody’s berkata harga aset yang tinggi di seluruh APAC akan memberi implikasi kredit yang bercampur-campur kepada bank, dengan inflasi harga hartanah memperkukuh nilai cagaran mereka sambil meningkatkan risiko pembetulan pasaran dengan tiba-tiba sekiranya keadaan ekonomi atau pasaran kewangan tiba-tiba merosot.

Dari sudut digital, ia menjangka tekanan kompetitif akan meningkat terhadap bank tersedia daripada firma teknologi kewangan dan bank digital sepenuhnya.

“Bagaimanapun, tahap gangguan akan berbeza dengan bergantung kepada persekitaran kawal selia dan dasar berlainan,” katanya sambil menyatakan cabaran dalam keselamatan siber akan terus meruncing berikutan bank membuat pelaburan besar untuk memperkukuh daya tahan operasi dan perlindungan data pelanggan.

Sambil menjangka bank akan mempertahankan lembaran imbangan yang kukuh dengan kemampuan bayar dan metrik mudah tunai yang stabil, Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s, Eugene Tarzimanov berkata masalah pinjaman akan meningkat secara sederhana dengan berakhirnya langkah sokongan kerajaan yang masih berbaki di kebanyakan pasaran.

“Bagaimanapun, rizab kredit mereka akan mengurangkan risiko aset berkaitan terhadap bank-bank,” katanya sambil memaklumkan nisbah modal teras akan kekal stabil berikutan keuntungan yang lebih baik akan menyokong pertumbuhan kredit, pembayaran dividen dan belian balik saham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast