PUTRAJAYA – Seorang penyokong Datuk Seri Najib Razak sedih apabila tiada dalam kalangan pemimpin UMNO yang menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri itu.

Wanita yang datang dari Kedah itu merupakan antara penyokong Najib yang hadir di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya pagi ini untuk bersama-sama menunggu keputusan rayuan Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International.

“Kenapa saya tidak nampak mana-mana pemimpin parti di sini.

”Mana kaki-kaki bodek?,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Istana Kehakiman.

Kelibat wanita ini menarik perhatian media kerana melaungkan ‘Bebas Bossku’ dan ‘Hidup Bossku’ di luar perkarangan Istana Kehakiman sambil memakai bandana tertera Bebas Bossku.

Mereka merupakan antara 130 penyokong Najib yang tiba seawal 8 pagi di perkarangan Kompleks Istana Kehakiman.

Enggan mendedahkan namanya, wanita yang datang bersama kumpulannya berkata, mereka berdoa siang dan malam supaya Najib dibebaskan daripada tuduhan jenayah.

“Saya di sini kerana mengenang jasanya, menghargai apa yang dilakukan Najib kepada negara sebelum ini,” ujarnya sambil memberitahu sokongan yang diberikan oleh dia dan rakan-rakannya pada Najib pada hari ini adalah ikhlas.

Jelasnya, dia tidak mendapat apa-apa dengan memberi sokongannya kepada Najib, malah tidak pernah mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) bantuan kewangan yang diperkenalkan Najib semasa mengetuai pentadbiran negara sebelum ini. – MalaysiaGazette