SRC International Sdn Bhd Appeal verdict guilty Najib Razak IRB Inland Revenue Board tax arrears bankruptcy SRC International appeal verdict guilty
Najib Razak

PUTRAJAYA – Keputusan terhadap rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mengenepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada jam 9 pagi ini.

Keputusan itu akan diumumkan setelah hampir tujuh bulan pihak pembelaan  mengemukakan 307 alasan mengapa bekas perdana menteri itu tidak bersalah melakukan penyewelengan dana SRC International.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib sedang merayu sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC RM42 juta.

Prosiding rayuan Najib itu berlangsung selama 15 hari bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April dan atas permohonan pembelaan, panel memutuskan melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April serta 18 Mei lalu.

Ketika prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan di sini, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram bertindak bagi pihak pendakwaan.

Sekitar jam 9 pagi ini, tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dijangka menyampaikan keputusan tersebut melalui aplikasi Zoom.

Untuk makluman, Najib pada saat-saat akhir  cuba mengemukakan bukti dan keterangan baharu dengan mendakwa terdapat pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, memfailkan notis usul dengan memohon mahkamah rayuan menerima masuk bukti baharu yang dikemukakan bagi membolehkan rayuannya didengar kembali sebelum dipertimbangkan namun dalam prosiding semalam, ianya telah ditolak sebulat suara.

Rayuan itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam menyabitkan beliau dalam kes itu pada 28 Julai tahun lepas.

Dakwa Najib, Mohd Nazlan telah gagal menimbangkan bagaimana Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya malah hakim itu didakwa telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang.

Mohd Nazlan juga didakwa telah terkhilaf apabila membuat dapatan pembelaan mengenai sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, melalui tiga pucuk surat adalah rekaan.

Seandainya Mahkamah Rayuan menolak alasan berkenaan dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap Najib, maka beliau mempunyai peluang akhir dengan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan pula.

Pada Julai tahun lepas, Mohd Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Namun Najib perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan ia berjalan serentak.

Najib dibebaskan selepas diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan diputuskan.

Keputusan hari ini disampaikan melalui aplikasi Zoom walaupun pada awalnya pasukan pembelaan telah memohon supaya prosiding ini ditangguhkan untuk tempoh 10 hari selepas salah seorang daripada peguam bela disahkan positif Covid-19.

Najib adalah antara kontak rapat atau kasual yang perlu menjalani kuarantin kendiri selain daripada hampir semua pasukan pembelaan mewakili termasuklah Muhammad Shafee. -MalaysiaGazette