KUALA LUMPUR – Terengganu FC 2022 akan diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kpah Sherman setelah dia bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama pasukan itu untuk tempoh satu tahun.
Menurut kenyataan kelab itu, Sherman yang berasal dari Liberia mengambil keputusan untuk berhijrah atas beberapa faktor dan antaranya kerana corak permainan Terengganu FC sangat bersesuaian dengan cara beliau bermain.
“Beliau sendiri melihatkan pasukan ini mampu memburu kejuaraan pada musim yang akan datang.
“Penyerang yang berjaya menghasilkan 13 gol bersama KDA FC bagi saingan Liga Super 2021 tetap memilih untuk berhijrah walaupun bekas pasukannya itu bakal beraksi di saingan pentas Asia bagi musim hadapan kerana meminati gaya permainan pasukan ini yang baginya mampu meningkatkan lagi kualiti permainan yang ada pada beliau,” katanya.
Terengganu FC berkata, Sherman komited dan bersemangat untuk membantu pasukan itu memburu kejuaraan pada musim hadapan.
Kata kelab itu, dia berpendapat satu tempoh yang sangat sesuai dengan melihatkan pemain-pemain yang ada bersama pasukan ini terutama pemain muda telah memasuki tempoh tahun ketiga bersama.
“Keserasian yang ditampilkan dalam setiap aksi adalah luar biasa dan beliau ingin menjadi salah seorang pemain yang bakal melengkapkan ‘puzzle’ kejuaraan pasukan ini.
“Kpah Sherman yang juga merupakan salah seorang penyerang skuad kebangsaan negaranya akan menyarung jersi bernombor 9 bersama pasukan Terengganu FC pada musim hadapan,” kata kelab itu.
Berdasarkan rekod, Sherman mula beraksi dalam saingan Liga M sejak 2017 bersama pasukan Majlis Sukan India Malaysia- Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) sebelum menyertai PKNS pada 2018 dan KDA FC selama dua musim bermula 2019.
Sebelum ini, Terengganu FC mengekalkan khidmat pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon, Argzim Redzovic (Montenegro) dan Mintah manakala lima lagi pemain import iaitu David Da Silva, Makan Konate, Dechi Marcel, Carli De Murga dan Masaki Watanabe digugurkan. – MalaysiaGazette