Ketua Eksekutif Al-Madinah International University (MEDIU), Prof. Madya Dr. Fadhlan Mohd Othman ketika temubual Malaysia Gazette di Al-Madinah International University Desa Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER2021.

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (Mediu) sedia berkongsi pengalaman dan kepakarannya berjaya meneruskan operasi tanpa terjejas sepanjang pandemik Covid-19 dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Ketua Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd Othman berkata, sebagai IPT swasta, Mediu telah memiliki sistem pengajaran menyeluruh yang dibangunkan sendiri sejak penubuhannya pada 2007.

Jelas beliau, dikenali sebagai Sistem Pengurusan Kampus (CMS), ia merupakan sistem di mana ia tidak memerlukan pelajar datang kelas ke kampus malah mampu menyimpan data walaupun profil pendaftaran dimasukkan lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, ketika pelaksanaan pengajaran atas talian pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Mediu tetap meneruskan operasi seperti biasa berbanding IPT lain agak kelam-kabut untuk menggunakannya ketika itu.

Ketua Eksekutif Al-Madinah International University (MEDIU), Prof. Madya Dr. Fadhlan Mohd Othman ketika temubual Malaysia Gazette di Al-Madinah International University Desa Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER2021.

“Dengan CMS ini, Mediu tidak terkesan sangat dan jumlah kemasukan pelajar tidak jatuh merudum dan graf pelajar yang menurun hanya sedikit ketika pandemik.

“Mediu juga tidak terlalu menerima kuat tekanan dan sebenarnya bila berlaku pelaksanaan PKP, konsep bekerja dari rumah itu telah menjimatkan lagi kos operasi Mediu.

“Ini kerana pihak universiti dapat mengurangkan penggunakan elektrik sebagai mana contoh hanya kepada satu bangunan beroperasi berbanding lima bangunan sebelum ini.

“Kami beruntung kerana CMS yang dibangunkan oleh peneraju Mediu sebelum ini hanya menyebabkan kami tidak terkesan sangat dan mampu meneruskan pembelajaran atas talian seperti biasa yang diamalkan sebelum ini,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bangunan Al-Madinah International University Desa Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER2021.

Mediu yang ditubuhkan sejak 2007 merupakan sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam sebelum berpindah ke Kampus Utama di Desa Petaling pada 2018.

Mediu kini mempunyai lebih 3,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian terdiri 90 buah negara dengan penyediaan lebih 93 kursus akademik yang telah memperolehi akradetasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

IPT yang ditubuhkan hasil kerjasama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi adalah sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Mengulas lanjut, Dr Fadhlan turut mengakui sistem yang dibangunkan Mediu agak ke depan berbanding IPT lain malah pernah memenangi tempat pertama Laman Web Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2010.

Tambah beliau, operasi Mediu sejak awal penubuhannya telah berjalan dengan lancar sehingga hari apabila diiktiraf sebagai antara lima universiti atas talian di negara ini.

“Sistem yang digunakan ini memang boleh menampung pembelajaran atas talian malah mampu memberi khidmat kepada IPT lain.

“Namun setakat ini sistem di Mediu hanya menampung diri sendiri dan dalam proses melakukan penambahbaik serta merancang untuk berkongsi bagaimana sistem ini dapat digunakan bukan sahaja IPT dalam negara malah di luar negara.

“Malah ketika ini Mediu juga sedang membantu Universiti Taibah di Arab Saudi untuk membangunkan sistem pengajaran atas talian mereka,” katanya.

Ketua Eksekutif Al-Madinah International University (MEDIU), Prof. Madya Dr. Fadhlan Mohd Othman ketika temubual Malaysia Gazette di Al-Madinah International University Desa Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER2021.

Dr. Fadlan menambah, Mediu menyasarkan pertambahan pelajar baharu melebihi 1,000 orang pada tahun 2022.

Jelas beliau, sasaran itu berdasarkan pengambilan pelajar selama lima sesi termasuk dua sesi untuk pelajar bersemuka.

Ujarnya lagi, sasaran turut melibatkan pelajar atas talian dan mereka yang berminat menyambung pengajian di bawah kursus Fakulti Pengajian Islam.

“Mediu mendapat sedikit kelonggaran daripada KPT untuk membuka pengambilan sebanyak tiga sesi bagi pelajar atas talian.

“Ini kerana kemasukan pelajar atas talian melibatkan ramai pelajar luar negara yang tidak terikat dengan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia dan boleh diambil pada bila-bila masa,” katanya.

Ketua Eksekutif Al-Madinah International University (MEDIU), Prof. Madya Dr. Fadhlan Mohd Othman ketika temubual Malaysia Gazette di Al-Madinah International University Desa Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER2021.

Dr. Fadlan turut yakin visi Mediu untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan ilmu, penyelidikan dan kemasyarakat di peringkat antarabangsa akan tercapai pada masa akan datang.

Jelas beliau, keyakinan itu bersandarkan penubuhan Pusat Kecemerlangan sejak awal tahun ini yang sedang berusaha untuk memantap pelaksanaan beberapa program yang dalam perancangan.

Ujarnya, ia melibatkan program kemasyarakatan yang menjadi penggerak bagi membina masyarakat berilmu dan berkemahiran dengan menjalankan kursus-kursus umum dan persijilan selain menganjurkan program dan kelas ilmu untuk semua lapisan .

“Pusat Kecemerlangan akan turut bertindak sebagai perunding kepada institusi-institusi yang menjalankan kursus kursus dan penyelidikan beserta penarafan untuk kursus kursus dari organisasi atau institusi institusi lain.

“Selain itu, kami turut merancang menubuhkan MEDIU Press untuk mewujudkan unit penerbitan bagi menerbitkan buku-buku yang berbentuk fizikal dan buku elektronik (e-books ) dan menerbitkan tesis-tesis pelajar yang cemerlang.

Temubual Rektor pertama Al-Madinah International University bersama sebuah suratkhabar yang terdapat Galeri Media@Mediu di Kampus Utama Desa Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER2021.

“Semenjak dari awal penubuhan, MEDIU telah menjalankan pengoperasian dan proses kendalian pelajar sepenuhnya secara atas talian yang bermula dari pendaftaran sehinggalah graduasi melalui sistem yang dibina sendiri oleh MEDIU .

“Pengalaman dan kepakaran ini akan MEDIU kongsikan dengan institusi pengajian lain di seluruh dunia.

“Malah juga sedang berusaha untuk menjadi platform dalam perkongsian pengalaman dan kepakaran Malaysia ke seluruh dunia khususnya negara-negara Arab seperti Lajnah Tahqiq Hadith, Kementerian Dalam Negeri yang dibentuk untuk memartabatkan hadits Nabi S.A.W selain kursus Pra Perkahwinan bermodul yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri seperti JAWI,JAIS dan lain-lain .

“Tidak dilupakan, program mengukuhkan pegangan ahlusunnah waljamaah dan membanteras penyebaran ajaran sesat seperti syiah dan lain-lain yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette