GEORGE TOWN – Rawatan air konvensional bagi air mentah dari Sungai Perak akan menjadi penyelesaian bekalan air dengan kos paling efektif untuk Perak dan Pulau Pinang, kata
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa.
Jelas beliau, pihaknya dan kerajaan negeri akan berusaha untuk melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kerana Pulau Pinang dan Perak memerlukan lebih banyak bekalan air untuk memenuhi keperluan rakyat pada masa depan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PBAPP sudah merangka Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) bagi mengurangkan risiko air mentah di negeri ini.
“Cadangan RWCP 2030 tidak bermakna Pulau Pinang berputus asa terhadap SPRWTS. Sebaliknya, objektif utama RWCP 2030 bagi Pulau Pinang ialah ‘menunggu’ sehingga pelaksanaan SPRWTS kerana ia adalah penyelesaian yang paling rasional dengan kos efektif.
“Sekiranya RWCP 2030 berlangsung seperti yang dirancang, Pulau Pinang akan mengoptimumkan Sungai Muda sebagai sumber air mentah utama. Malah, ia turut membabitkan penerokaan dua sumber air mentah baharu iaitu Empangan Mengkuang dan Sungai Perai.
“Dengan jumlah potensi hasil ialah tambahan 579 juta liter sehari (JLH), ia dapat memastikan rakyat akan terus menikmati perkhidmatan bekalan air yang baik sehingga 2030,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
RWCP 2030 merupakan sebahagian daripada inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) turut membabitkan cadangan pelaksanaan lima projek air utama.
Mengulas lanjut mengenai SPRWTS, Jaseni berkata, sehingga kini Pulau Pinang masih menantikan pelaksanaan itu walaupun sudah menunggu sejak 10 tahun lalu.
Kata beliau, unjuran hasil SPRWTS adalah tinggi iaitu 1,000 hingga 2,000 JLH dan membantu memastikan keperluan air mentah Perak dan Pulau Pinang dipenuhi sehingga 2050.
“Rawatan air konvensional bagi air mentah dari Sungai Perak menjadi penyelesaian bekalan air yang paling kos efektif bagi Perak dan Pulau Pinang.
“la jauh lebih murah berbanding penyahgaraman dan akan mempunyai kesan paling sedikit terhadap tarif air masa depan di kedua-dua negeri,” jelas beliau.
Untuk rekod, pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP mencadangkan SPRWTS kepada Kerajaan Persekutuan sebagai penyelesaian air mentah yang rasional dan kos efektif.
Manakala Kerajaan Negeri Perak baru-baru ini dilaporkan belum membuat keputusan mengenai penjualan air mentah kepada Pulau Pinang, seperti yang dicadangkan mengikut SPRWTS. – MalaysiaGazette