Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari bercakap pada sidang media mengenai sebahagian penduduk menyatakan rasa tidak puas selepas mereka diminta berpindah dan diberikan nilai pampasan yang rendah membabitkan kawasan flat dan rumah teres di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemilik tanah dan unit flat di kawasan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru boleh mengemukakan bantahan sekiranya mereka merasakan jumlah pampasan yang ditawarkan adalah tidak setimpal.

Menerusi satu kenyataan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berkata, pemilik masih boleh mengemukakan bantahan melalui Borang N di bawah Seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960.

Menurutnya, dakwaan yang menyatakan pemilik perlu mengosongkan rumah dalam tempoh 42 hari (6 minggu) juga adalah tidak tepat.

“Tempoh masa 42 hari bukanlah tempoh untuk pemilik keluar dari rumah tetapi tempoh untuk pemilik mengemukakan bantahan terhadap jumlah pampasan.

“Pemaju juga sedang dalam proses rundingan bersama pemilik unit flat PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) Sungai Baru bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pampasan untuk memastikan proses pembangunan semula ini berjalan dengan adil dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, PKB berkata, pemilik telah melalui proses rundingan bersama pemaju sejak tahun 2016 (pemilik pertama menandatangani perjanjian usahasama pada 8 Ogos 2016) untuk meneliti dan menimbang tawaran pembangunan semula secara usahasama oleh pemaju.

Justeru katanya, tempoh masa tersebut juga mencukupi untuk pemilik membuat keputusan.

Jelas kenyataan itu lagi, kaedah pengambilan tanah yang dibuat adalah berdasarkan perundangan dan proses siasatan pengambilan tanah (land enquiry) kedua bagi tujuan untuk memuktamadkan jumlah pampasan (award) lot-lot teres masih belum dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL).

“Berdasarkan prinsip penentuan pampasan, jumlah pampasan yang mencukupi berdasarkan nilai pasaran perlu dibayar kepada pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

Dalam pada itu, PKB berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim juga telah mengadakan sesi libat urus bersama pemilik tanah dan flat PKNS Sungai Baru serta pemaju bagi menyelesaikan isu pampasan berkenaan.

Tambahnya, para pemilik telah bersetuju dengan usaha-usaha pembangunan semula kawasan Sungai Baru dan mengharapkan pemaju untuk membantu mereka mendapatkan nilai pampasan yang sewajarnya.

Sebagai rekod, sejumlah 328 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat terlibat dalam projek pembangunan semula itu.

Pihak pemaju telah dipelawa oleh Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PPHKSB) pada tahun 2016 untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan Sungai Baru.

Pada 4 Disember lalu, media melaporkan sekumpulan penduduk sekitar Kampung Sungai Baru sekali lagi melakukan bantahan terhadap projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah dan ‘menindas’.

Sebahagian penduduk yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tawaran perjanjian itu mula berkumpul di Jalan Sungai Baru kira-kira pukul 10 pagi untuk meluahkan tanda protes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast