Antara kakitangan perubatan sebuah hospital yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Tiga kakitangan perubatan Hospital Kajang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan antara 2019 hingga tahun ini.

Ketiga-tiga individu itu yang masih bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di hospital tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dan pertuduhan pilihan setelah jurubahasa membacakan pertuduhan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nizam Noordin, 41, pada 21 Mei 2020 di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Cawangan Kajang telah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM600 daripada seorang individu sebagai balasan memberikan kerja pengurusan dua jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM600 daripada seorang individu sebagai tanpa balasan bagi kerja pengurusan dua jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Seorang lagi tertuduh, Muhd Azhar Nahar, 44, menghadapi dua pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan, yang  mana dia pada 4 Jun 2020 dan 9 Februari di Maybank Cawangan Kajang telah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah, masing-masing RM600 dan RM300 daripada seorang individu sebagai balasan memberikan kerja pengurusan jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan itu menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM600 dan RM300 daripada seorang individu sebagai tanpa balasan bagi kerja pengurusan jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Kakitangan Hospital Kajang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER 2021.

Sementara itu, bagi tertuduh ketiga pula, Mohd Redzuan Che Husain, 34, berdepan dengan sembilan pertuduhan utama dan sembilan pertuduhan pilihan atau pertuduhan menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,450 daripada seorang individu sebagai balasan memberikan kerja pengurusan jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh yang masih bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan didakwa melakukan perbuatan itu antara 14 Ogos 2019 hingga 20 Julai 2021 di CIMB Bank Cawangan Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,450 daripada seorang individu sebagai tanpa balasan bagi kerja pengurusan jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Bagi pertuduhan utama, mereka disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Kesalahan di bawah pertuduhan pilihan pula, mereka disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga tertuduh menuju masuk ke Mahkamh Sesyen bagi menghadapi pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER 2021.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Selangor, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM5,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Bagaimanapun peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili ketiga-tiga kakitangan kesihatan memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana ketiga-ketiga tertuduh masih bertugas di Hospital Kajang serta sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan.

Peguam Mohd Fikah juga berkata, jaminan itu wajar dikurangkan kerana ketiga-tiga anak guamnya itu sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM Selangor malah pernah direman lima hari bermula 7 Oktober lalu.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh Mohd Nizam dan Muhd Azhar Nahar dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 manakala Mohd Redzuan Che Husain pula berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin, pasport perlu diserah ke mahkamah dan mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Mahkamah Sesyen Shah Alam juga menetapkan 10 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan kes bagi urusan serahan dokumen. – MalaysiaGazette