Fatimah mencium tangan anaknya, Eizelan yang dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) akibat komplikasi ketika dilahirkan menyebabkannya mengalami masalah tulang belakang.

TENGKERA – “Biarlah Allah tarik nyawa anak syurga ini sebelum mak cik kerana tidak sanggup membayangkan kehidupannya yang hanya boleh telan makanan dikunyah dari mulut mak cik”

Itu luahan sebak warga emas, Fatimah Abdul Rahman, 69, mengenangkan nasib anak keempatnya, Eizelan Alimin, 36, yang dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) akibat komplikasi ketika dilahirkan menyebabkannya mengalami masalah tulang belakang.

Menurut ibu tunggal itu, akibatnya Eizelan tidak mampu bercakap dan menguruskan diri sendiri sebaliknya hanya terlantar dan perlu dipantau sepanjang masa.

“Bayangkan, sejak kecil tiada seorang pun daripada empat lagi anak mak cik mampu tahan dengan kerenah dan memahami pertuturan bahasa isyaratnya.

“Penah sekali Eizelan tercekik makanan yang dikunyah kakak iparnya sebelum disuap ke mulutnya menyebabkan tiada siapa berani menjaga dan menguruskan dirinya sejak kecil selepas itu.

“Mungkin sudah naluri dan air tangan ibu, anak syurga ini hanya boleh menelan makanan yang dikunyah mak cik sendiri menyebabkan mak cik tidak mampu bekerja untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di rumah pusaka keluarganya di Jalan Tengkera hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah bagaimanapun bersyukur kerana anak bongsunya, Izzery, 30, sanggup mengorbankan masa mudanya membantu dirinya.

Jelasnya, malah anak lelakinya itu sanggup berhenti kerja di ibu negara bagi menjaga mereka namun nasib masih tidak menyebelahi apabila perniagaan kebab dan cendawan yang diusahakannya beberapa bulan lalu tidak dapat diteruskan.

“Bukan tidak cuba untuk hidup berdikari tanpa mengharapkan ihsan masyarakat tapi mungkin belum sampai rezeki kami tiga beranak.

“Anak-anak lelaki yang lain juga ada membantu tetapi kemampuan semua mereka yang sudah berkeluarga juga terhad termasuk anak sulung yang mengidap masalah buah pinggang,” katanya sayu.

Tambah Fatimah, bagi menampung keperluan buat sementara, dia dan anak bongsunya mengusahkan tempat letak kereta di tanah pusaka milik keluarganya di hadapan rumah mereka berusia lebih 150 tahun itu.

“Itu pun baharu sebulan kami buka tempat letak kereta ini dengan bayaran seikhlas hati selepas mendapat permintaan pelanggan warung mi goreng terkenal di Tengkera.

“Dengan kutipan duit ini, setidak-tidaknya dapatlah meringankan sedikit kos keperluan lampin pakai buang anak selain mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM500 dan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat saya dan Eizelan.

Sementara itu, kepayahan hidup dilalui Fatimah turut mendapat perhatian seorang usahawan muda, Ashwad Abd Rahim, 29, yang bergerak di bawah Usahawan Belia Melaka untuk membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 di Melaka.

“Saya begitu tersentuh melihat kecekalan hidup mak cik Fatimah ini yang selama 36 tahun mengunyah dan menyuap makanan kepada anaknya tanpa gagal walaupun sehari.

“Sebab itu, hari ini saya berhasrat jika sudi, mahu menjadikan mereka sebagai keluarga angkat agar supaya dapat membantu keperluan keluarga ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambahnya, dia juga akan berusaha untuk membina tapak tanaman cendawan di sebelah rumah keluarga berkenaan untuk diusahakan anak bongsunya menjadi sumber pendapatan keluarga.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Fatimah boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB Izzery di nombor 7026718150.- MalaysiaGazette