Dr. Ahmad Yunus antara calon PN yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor oleh DPPS.

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor petang ini mendengar beberapa usul dibangkitkan berhubung isu membabitkan bekalan air, kemiskinan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) berkaitan Darul Ehsan Facilities Management Sdn. Bhd. (DEFMSB).

Datuk Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) mengemukakan usul Pengurusan Sumber Air Selangor (PSAS) mahu kerajaan mewartakan sumber dan infrastruktur air sebagai tempat dan kawasan larangan serta sasaran penting di negeri itu.

Beliau berkata, pendengaran Jawatankuasa Pilihan PSAS berkenaan isu penyambungan HORAS 600 ke Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang diadakan pada 29 Disember tahun lalu.

“Kita dimaklumkan kawasan HORAS 600 telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan di mana aktiviti di kawasan sekitarnya dikawal dan orang ramai perlu memohon keizinan daripada pihak berkuasa sekiranya ingin memasuki kawasan tersebut.

“Jawatankuasa ini juga dimaklumkan permohonan untuk diwartakan sebagai kawasan keselamatan seperti kawasan LRA perlu ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sesi usul di sidang DUN Selangor petang ini.

Menurut Ahmad Yunus, usul itu penting diberi perhatian memandangkan berlaku pencemaran air berulang kali setiap sejak kebelakangan ini.

Katanya, selain pandangan jawatankuasa, kerajaan negeri juga mungkin boleh melihat kepentingan sumber air daripada empangan ke sungai, ke muka sauk dan sehingga ke loji rawatan air akan sentiasa dijaga dari sudut kualitinya.

“Ini bagi memastikan henti tugas tidak berlaku. Jika berulang lagi, ia akan melibatkan kira-kira lima juta rakyat Selangor akan menjadi mangsa, selain menjejaskan pemain industri yang memerlukan air bersih dan terawat,” katanya.

Sementara itu, Lim Yi Wei (DAP-Kampung Tunku) pula mengemukakan usul PAC berkaitan DEFMSB.

Lim Yi Wei

Kata beliau, PAC telah membuat semakan dan penelitian ke atas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3 tahun 2018 berkaitan pengurusan aktiviti kewangan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri itu.

“Jabatan yang disepakati untuk disiasat ialah DEFMSB iaitu syarikat subsidiari di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor yang bertanggungjawab mengurus aset kerajaan negeri terutama dalam bidang sukan.

“Contohnya, pengurusan aset itu melibatkan Kompleks Generasi Muda dan Sukan Negeri Selangor serta Kompleks Sukan Shah Alam Seksyen 13 (KSSA).

“Sekurang-kurangnya lima isu utama yang digariskan iaitu pengerusi dan lembaga pengarah tidak menyediakan piagam bagi menyatakan peranan dan tanggungjawab ahli lembaga pengarah serta pengurusan syarikat,” katanya.

Menurut Yi Wei, isu lain ialah lembaga pengarah tidak mewujudkan kod tata laku dan etika syarikat sejak DEFMSB ditubuhkan selain peranan setiausaha syarikat tidak dijalankan dengan berkesan.

Turut menjadi isu ialah kerja menaik taraf dan membaikpulih KSSA iaitu sehingga 9 Ogos 2019 sebanyak 10 daripada 11 kontrak naik taraf dan baik pulih selesai dilaksanakan.

Manakala sehingga 28 Februari 2020 pula, satu kerja menaik taraf sistem pencegahan kebakaran dan mendapatkan perakuan bomba belum dimeterai dengan kontrak perjanjian melibatkan kelewatan sebanyak 469 hari.

Sebanyak 12 usul dibentang dan diluluskan dalam sidang DUN yang berakhir petang ini. – MalaysiaGazette