Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan kehilangan cukai kira-kira RM280 juta susulan 2,518 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM41.43 juta sehingga September lalu berdasarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada tahun lepas, negara juga menanggung jumlah kehilangan cukai bernilai RM707 juta menerusi 2,842 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah membabitkan nilai kira-kira RM97 juta.

Justeru, katanya, JKDM sentiasa mempergiat kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot dan kenderaan, serta pelbagai operasi khas dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat terbabit.

“Walaupun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, usaha menangani penyeludupan terus dipertingkatkan dan melakukan pelbagai tindakan, termasuk menyertai operasi dan merangka operasi lebih dinamik.

“Kita juga melancarkan Ops Pacak di lokaliti panas dikenal pasti dan menyediakan mesin pengimbas bagi setiap proses keluar, masuk di seluruh negara, selain menjalin kerjasama dalam Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) dengan pelbagai agensi penguat kuasa.

“Kerjasama turut dijalinkan dengan pihak industri serta antarabangsa supaya dapat membuat perkongsian maklumat dengan perisikan dan operasi antarabangsa berkaitan isu ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) pada sesi Pertanyaan Menteri.

Sebelum itu, beliau turut menjawab mengenai rasional perintah baharu JKDM mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir kepada bukan Islam, mulai tahun depan.

Tengku Zafrul menegaskan, Kementerian Kewangan sekali lagi memberi jaminan perwakilan kuasa bagi mendapatkan kelulusan penjualan minimum keras secara runcit di premis, kekal tanpa sebarang perubahan.

Beliau berkata, sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya.

Tambahnya, dasar sedia ada menggariskan penjualan minimum keras secara runcit di premis perlu dilesenkan mengikut Akta Eksais 1976.

Menurut beliau, sebarang pelesenan penjualan minum keras perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pelesenan, selaras dengan Seksyen 35, Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette