KUALA LUMPUR – Kesemua indeks prestasi utama (KPI) Kementerian Pertahanan (MINDEF) berjaya dicapai dan disempurnakan dalam masa 100 hari pentadbirannya.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tempoh tiga bulan itu dianggap sebagai amat mencabar, menuntut fokus, komitmen serta kesungguhan yang tidak berbelah bahagi.
“Saya masih ingat hari pertama saya pada 1 September lalu, sebaik sahaja menerima tabik hormat, saya terus mengadakan perbincangan memikirkan perancangan dan matlamat yang ingin dicapai khusus untuk 100 hari pertama.
“Dari situlah saya bersama kepimpinan tertinggi MINDEF dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) menetapkan 15 inisiatif di bawah enam aspirasi untuk dilaksanakan dalam 100 hari pertama.
“Dan pagi ini, selepas 100 hari menerajui MINDEF, saya sekali lagi menerima tabik hormat buat kali kedua dan dengan perasaan bangga dan terharu suka saya nyatakan bahawa kesemua KPI telah pun dicapai, disempurnakan dan dijayakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, enam aspirasi itu merangkumi memerangi Covid-19, mengawal sempadan negara, mengeratkan kerjasama antarabangsa, memenuhi keperluan kediaman anggota, membela kebajikan veteran ATM dan melaksanakan program jiwa murni.
“Bagi Combat Medic Vaccination Team (CMVT), saya lihat anggota terpaksa menempuhi perjalanan sukar untuk masuk ke kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia memberi vaksin dan hasil usaha CMVT seramai 25,092 penduduk pedalaman telah dapat divaksinasi.
“Manakala bagi vaksinasi pandu lalu dalam tempoh tidak sampai dua bulan, seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap hasil daripada inisiatif ini.
“Menerusi pelaksanaan Operasi Benteng setakat 7 Disember, seramai 17,023 pendatang asing tanpa izin berjaya ditangkap,” ujarnya.
Selain itu katanya, KPI yang telah berjaya dicapai dan disempurnakan termasuklah pengoperasian hospital medan melibatkan pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja, 107 projek jiwa murni dan penerbangan bantuan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia bagi membawa peralatan perubatan Covid-19.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, MINDEF juga sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di seluruh negara bermula tahun ini sehingga tahun 2030.
“Keupayaan MINDEF dan ATM menjayakan perancangan 100 hari ini amat baik, namun kita tidak boleh cepat berpuas hati.
“Sebab itulah saya ingin maklumkan, biar pun hari ini kita bercakap tentang pencapaian 100 hari, tanpa melengahkan masa, esok MINDEF akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022.
“MINDEF juga akan memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” ujarnya.
Terdahulu, lapan 8 Detasmen yang terdiri daripada Detasmen Tentera Darat Malaysia, Detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia dan Detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia dengan kekuatan seramai 47 pegawai dan 968 anggota lain-lain pangkat mempersembahkan perbarisan berkonsepkan perbarisan tempur. – MalaysiaGazette