Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Rakyat berhak tahu kenapa kerajaan membuat keputusan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan membayar pampasan RM320 juta kepada kerajaan negara itu.

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) berkata, berdasarkan data apa pula yang mendokong kerajaan untuk menggantikan dengan projek HSR Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Katanya, beliau cuba bertanyakan soalan itu ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab soalan dari Lim Guan Eng (DAP-Bagan), tetapi tidak diberi peluang.

“Semasa YB Menteri di JPM menjawab soalan berkaitan projek HSR di Dewan Rakyat pagi ini, saya juga telah berdiri lama, tapi saya tidak mendapat peluang untuk bertanya soalan tambahan.

“Saya hanya nak beri pandangan, bahawa rakyat Malaysia berhak mengetahui kenapa dan berdasarkan data apa yang mendokong kerajaan membuat keputusan membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan membayar pampasan RM320 juta kepada kerajaan Singapura untuk digantikan dengan projek HSR Kuala Lumpur ke Johor Baharu,” katanya, di sini, hari ini.

Mustapa (PPBM-Jeli) dalam jawapan itu dilaporkan berkata, cadangan baharu projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru masih dalam perbincangan awal dan persoalan kos projek itu boleh dikurangkan kepada RM50 bilion tidak berbangkit.

Kata beliau, mengikut anggaran yang telah dibuat di bawah model dicadangkan iaitu HSR 2.0 (Baharu), kos projeknya jauh lebih rendah dengan kos cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, minggu lepas beliau disalurkan maklumat berhubung perbandingan unjuran jumlah penumpang, hasil pendapatan tambang dan kos projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan Kuala Lumpur-Johor Bahru.

Kata beliau, unjuran jumlah penumpang setahun dikatakan akan turun 10.4 juta orang iaitu 28 peratus dari 37.3 juta ke 26.9 juta penumpang.

Manakala hasil pendapatan tambang akan menurun RM352 bilion dari RM929 bilion ke RM577 bilion sekiranya HSR Kuala Lumpur-Singapura diganti dengan HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru.

Sebaliknya, kata beliau, penjimatan kos projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru cuma RM3.6 bilion ataupun 5.3 peratus lebih murah berbanding projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Beliau berkata, sebanyak RM3.3 bilion juga akan dibayar kepada syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL KLIA-Kuala Lumpur Sentral sedia ada, manakala pampasan antara RM5.7 bilion hingga RM7.7 bilion telah diperuntukan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat ERL bagi tempoh projek.

“Soalan saya, adakah angka ini tertulis dalam kertas Kabinet yang dibentang semasa Jemaah Menteri membuat keputusan pada akhir 2020 untuk membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura bagi digantikan dengan projek HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu?

“Kenapa syarikat ERL telah dipilih terdahulu dan siapa pemegang saham terbesar syarikat ERL?

“Kenapa kos RM3.3 bilion diperuntuk untuk membayar syarikat ERL bagi menaik taraf sistem ERL sedia ada dan mengapa pampasan sehingga RM7.7 bilion telah diperuntuk untuk dibayar sebagai pampasan kepada syarikat ERL?,” soal beliau. – MalaysiaGazette