Nurul Hizam (tengah) menunjukkan dadah disyaki jenis syabu yang dirampas pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Cubaan dua nelayan yang menyeludup keluar dadah dipercayai jenis syabu seberat 40 kilogram (kg) bernilai RM1.99 juta tidak berhasil apabila mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, suspek masing-masing berusia 45 dan 48 tahun  ditahan ketika dalam perjalanan membawa bekalan dadah menaiki bot untuk dipindahkan ke dalam bot nelayan yang lain.

“Kejadian berlaku pukul 7 malam semalam selepas pasukan operasi darat mengesan sebuah bot Kelas A mencurigakan sedang menyelusuri masuk ke Jeti Nelayan Parit Jawa, Muar sebelum pasukan serbuan diatur gerak ke lokasi dan menahan bot berkenaan bersama dua suspek warga tempatan.

“Penggeledahan ke atas bot telah menemui satu karung guni putih mencurigakan yang disembunyikan di bawah alat kemudi bot.

“Hasil pemeriksaan dilakukan pihak kami menemui sejumlah 30 bungkusan mampat berisi hablur putih disyaki dadah jenis syabu dengan berat anggaran lebih kurang satu kilogram bagi setiap bungkusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.

Kedua-dua suspek katanya, mengakui dadah tersebut dalam proses transit untuk dipindahkan ke bot nelayan lain di perairan Parit Jawa sebelum diseludup ke negara jiran.

Sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama satu unit enjin kuasa kuda, sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM1,706 dengan anggaran keseluruhan bernilai RM2.03 juta dirampas.

Beliau berkata, kedua-dua suspek  diserahkan kepada pihak polis dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan, selain memastikan perairan Johor khususnya Batu Pahat, selamat, aman dan terkawal.- MalaysiaGazette