KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan pada bulan Oktober 2021 berjumlah RM140.7 bilion, bertumbuh sebanyak 15.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Sementara itu, nilai jualan ini meningkat sebanyak 4.0 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai jualan pada bulan ini dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah & plastik (27.0%) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk elektrik & elektronik (16.9%) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik serta optikal dan subsektor produk makanan, minuman & tembakau (11.8%) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan.

Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.4 peratus dari jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 17.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 9.3 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 1.7 peratus dan 10.6 peratus.

Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Oktober 2021 adalah seramai 2,241,048 orang, meningkat 2.4 peratus berbanding
2,188,520 orang pada Oktober 2020.

Peningkatan ini disumbangkan oleh produk elektrik & elektronik (4.9%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.6%) dan produk kayu,
perabot, keluaran kertas & percetakan (2.7%).

Laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji & upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,522.8 juta, meningkat 4.4 peratus atau RM317.3 juta pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 12.6 peratus kepada RM62,781 berbanding bulan yang sama tahun 2020 (Oktober 2020: RM55,747).
Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,357 pada bulan Oktober 2021.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.1 peratus kepada RM1,268.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

Bilangan pekerja dan gaji & upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus (2.24 juta orang) dan 2.6 peratus (RM74.2 bilion).

Nilai jualan per pekerja bagi 10 bulan pertama tahun 2021 turut bertumbuh 12.4 peratus kepada RM566,011. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast