Dr Akmal turut memeriksa daftar masuk Mysejahtera pelanggan sebuah restoran di Bukit Beruang dalam operasi malam tadi.

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan 6,777 kompaun bernilai lebih RM12.3 juta kepada individu dan syarikat kerana gagal mematuhi peraturan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kompaun kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 sehingga 7 Disember lalu.

Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 30,084 buah premis diperiksa melibatkan pelbagai sektor ekonomi.

“Daripada jumlah premis yang diperiksa itu, 6,777 kompaun dikeluarkan kepada individu dan syarikat kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Amaun kompaun ditawarkan bernilai RM12,885,000 dan daripada jumlah itu, 3,266 kompaun telah dibayar dengan kutipan berjumlah RM3,041,100,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Khas Penguatkuasaan SOP Pelan Pemulihan Negera (PPN) Fasa 4 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di sini lewat malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, operasi itu bagaimanapun dibuat bagi mendidik masyarakat supaya tidak sesekali lupa mematuhi SOP MKN sekalipun Melaka telah memasuki PPN Fasa 4 sejak 18 Oktober lalu yang menyaksikan majoriti sektor ekonomi dan sosial telah dibenarkan beroperasi.

“Dengan kemunculan varian baru seperti Delta dan Omicron, saya berharap, masyarakat dapat membudayakan norma baharu ini dan mengambil tanggungjawab sosial bersama dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Operasi khas SOP PPN Fasa 4 ini juga dijalankan serentak dengan penguatkuasaan PPKHT 2004 selaras dengan kehendak Artikel 8 FCTC iaitu melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok basi@second hand smoker,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 pula, jelas beliau sebanyak 278 notis kesalahan telah dikeluarkan sehingga 7 Disember lalu kerana merokok di kawasan larangan dan beberapa kesalahan lain.

“Sebanyak 303 kompaun telah dikeluarkan dengan amaun kompaun yang ditawarkan bernilai RM63,600 dan yang dibayar sebanyak RM42,455,” katanya.

Operasi berakhir jam 11 malam tadi menyaksikan empat individu dikompaun RM4,000 atas kesalahan Akta 342 kerana gagal mengimbas Kod QR MySejahtera.

Selain itu, 10 lagi individu dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah PPKHT daripada semua 24 premis yang diperiksa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast