Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya dipilih menduduki satu daripada 20 kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi Kategori C dalam Perhimpunan IMO untuk penggal 2022-2023.

Malaysia adalah salah satu daripada 27 negara anggota yang bersaing merebut 20 tempat, berbanding hanya 24 negara yang bertanding pada penggal sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Malaysia mendapat 128 undi daripada 159 undi dengan satu undi tidak sah dan
tiada yang berkecuali.

Keputusan semasa sesi ke-32 Perhimpunan IMO yang bermula dari 6-15 Disember 2021 ini, sekali gus menjadi kemenangan Malaysia buat penggal ke-9 berturut-turut.

”Ini juga merupakan detik bermakna buat negara sempena Ulang Tahun ke-50 Malaysia sebagai negara anggota IMO sejak tahun 1971. 2006-2007 merupakan penggal pertama kita menduduki Ahli Majlis IMO.

”Usaha untuk memastikan negara mengekalkan kedudukan ini sudah bermula lama iaitu sejak pemilihan penggal lepas berakhir lagi dan di tengah-tengah pandemik melanda dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ia diketuai oleh Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London demi memastikan kemenangan Malaysia yang juga merupakan penjaga Selat Melaka yang penting di dunia serta mengekalkan suara Malaysia untuk
perbincangan mengenai hal ehwal maritim antarabangsa dan serantau.

Ka Siong menambah, pemilihan ini juga adalah satu penghormatan dan tanggungjawab kepada Malaysia, tambahan pula industri perkapalan merupakan salah satu industri penting dalam pengangkutan barangan di Malaysia serta pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia dan industri perkapalannya memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Kepentingan modal insan dalam industri perkapalan dan maritim juga akan mendapat manfaat hasil daripada pemilihan semula Malaysia ke Majlis IMO.

Pemilihan semula ini bergantung pada komitmen jangka panjang dan sumbangan Malaysia kepada program-program serta halatuju IMO dan agensi-agensi di
bawahnya, juga mencerminkan pengiktirafan Malaysia oleh IMO dan negara anggotanya atas kerjasama Malaysia dalam keselamatan marin, perlindungan alam sekitar, kebajikan dan hak pelaut, serta mengekalkan keselamatan perkapalan di seluruh dunia. – MalaysiaGazette