KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) optimis dengan Rangka Kerja Pengawasan (RKP) yang baru diperkenalkan untuk warganya akan menjadi budaya kerja baharu di TH bagi membolehkan agensi itu terus maju ke hadapan.
Pengurus Besar Syariah TH, Imran Mohammad Khayat berkata pengenalan rangka kerja itu baru-baru ini membolehkan semua pihak termasuk pendeposit dan pihak berkepentingan TH menjadi lebih yakin terhadap asas mandat dan tadbir urus lembaga TH.
Beliau berkata sebagai institusi Islam yang menguruskan simpanan deposit umat Islam Malaysia bagi mengerjakan haji, TH bertanggungjawab untuk sentiasa menambah baik cara menunaikan amanah itu dengan lebih berkesan dan lestari untuk jangka masa panjang.
“Rangka kerja itu mengukuhkan asas struktur tadbir urus kami. Jadi ia adalah satu tugas yang perlu kita buat dan budayakan.
“RKP ini bukanlah sekadar satu dokumen tapi ia mencerminkan bagaimana kita menterjemah dan membudayakannya dalam kalangan warga TH hari ini, malah juga untuk pemimpin dan warga kerja TH akan datang,” katanya dalam satu temu bual eksklusif kepada Bernama baru-baru ini.
Imran berkata antara sebab utama rangka kerja itu diperkenalkan adalah untuk memperlihatkan bahawa TH mempunyai asas dan rangka kerja keseluruhan untuk kakitangannya dalam memastikan pihaknya komited melaksanakan mandat pengurusan haji bertaraf dunia.
“Jadi apabila kita melihat semula segala prosedur dan polisi TH sedia ada, kita dapati perlunya ada satu ‘overarching’ dokumen yang menjadi kerangka secara keseluruhan untuk kita move forward mindset (memacu minda ke hadapan) agar kita dapat menjalankan amanah diberikan oleh para pendeposit kita,” katanya.
Katanya, sebagai sebuah institusi Islam disegani di mata dunia, semua warga di setiap peringkat sama ada di peringkat tertinggi hingga peringkat paling bawah mesti memainkan peranan dan mempunyai kebertanggungjawaban tinggi dalam memastikan kod etika, cara kerja dan lain-lain termasuk RKP diperkukuhkan bagi meyakinkan pihak berkepentingan TH.
Imran berkata TH juga memastikan anggota lembaga, panel pelaburan, pengurusan kanan dan warga kerja sentiasa mendokong empat teras utama iaitu nilai dan prinsip Islam, kepimpinan beretika, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang berkesan dan akauntabiliti kepada pihak berkepentingan.
Untuk itu, Imran berkata adalah menjadi satu keperluan bagi badan itu untuk mengukuhkan lagi struktur pentadbiran menerusi RKP setelah melihat kepada perjalanan pembangunan TH yang sudah hampir enam dekad dalam operasi patuh syariah.
Seiring dengan pelancaran RKP itu juga, katanya, TH turut memperkenalkan program kesedaran dalaman berkaitan RKP secara progresif bagi membantu kakitangan agensi tersebut menghayati rangka kerja dan peranannya dalam mengukuhkan tadbir urus korporat TH pada masa hadapan.
RKP adalah rangka kerja bermatlamatkan pencapaian Maqasid Syariah merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, harta benda dan generasi akan datang, di samping penerapan terhadap pematuhan Syariah serta menjunjung integriti.
Sejak penubuhan TH pada 1963, badan itu telah menguruskan ibadah haji untuk 1.5 juta umat Islam dan kini, kira-kira separuh daripada umat Islam di Malaysia atau 8.3 juta individu telah mendaftar sebagai pendeposit untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.- BERNAMA