Hasil pemeriksaan piolis mendapati dua individu membawa satu bilah pedang, dua bilah parang dan lima bilah keris yang mahu digunakan bagi merakam kandungan Tiktok di Pulau Besar, Melaka.

MELAKA – Polis menahan dua sekawan selepas memiliki lapan senjata tajam yang didakwa digunakan untuk merakamkan kandungan aplikasi media sosial Tiktok di Pulau Besar di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek iaitu wanita berusia 41 tahun dan rakan lelakinya, 40, ditahan pukul 11 pagi ketika  bersama tiga lagi rakan mereka di pulau berkenaan.

Menurut beliau, kesalahan dikesan dalam penugasan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka, dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah.

“Semasa penugasan bersepadu itu, polis berjaya menahan lima individu iaitu tiga lelaki dan dua wanita sedang berkumpul di pulau berkenaan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu bilah pedang, dua bilah parang dan lima bilah keris dan hasil soal siasat dua suspek berkenaan iaitu lelaki berasal dari Kelantan dan wanita dari Sabah mengakui pemilik senjata itu.

“Kedua-dua mereka yang mempunyai sijil ilmu persilatan juga mengakui datang ke situ hanya untuk merakamkan video untuk dimuat naik ke dalam aplikasi Tiktok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, tiga lagi rakan mereka berusia 20, 35 dan 45 tahun bagaimanapun dilepaskan setelah selesai proses mengambil keterangan dan dokumentasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa apa-apa senjata yang tersenarai di bawah jadual kedua Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk di bawa ke tempat awam tanpa sebarang kebenaran.

“Ini kerana ia adalah senjata berbahaya yang boleh digunakan untuk tujuan menyerang dan mencederakan orang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast