Kaedah baharu menghasilkan ikan masin di dalam rumah jemuran solar yang boleh diibaratkan seperti berada dalam 'rumah sauna' kini semakin popular dalam kalangan nelayan di Melaka seperti diusahkan Mohd Nor Ibrahim di Jalan Ayer Molek, Kampung Ramuan China Besar sejak enam bulan lalu.

ALOR GAJAH – Menghasilkan ikan masin menerusi kaedah jemuran solar yang diibaratkan seperti berada dalam ‘rumah sauna’ kini semakin popular dalam kalangan nelayan di negeri ini.

Apa tidaknya, cara tersebut jauh lebih mudah berbanding cara tradisional menjemur ikan secara terdedah di bawah matahari yang lazimya dilihat tidak menjamin kebersihan produk.

Dengan adanya ‘rumah sauna’ berukuran 3 x 1 meter sumbangan Jabatan Perikanan Melaka itu, ia sekaligus membantu meningkatkan ekonomi nelayan melalui penghasilan dan pemasaran ikan masin sehingga berkali ganda.

Ianya diakui sendiri nelayan, Mohd Nor Ibrahim, 63, yang kini mampu menghasilkan sehingga lebih 10 kilogram ikan masin pelbagai jenis seperti kurau, bulu ayam, talang, pari dan gelama sehari sejak menerima bantuan ‘rumah sauna’ ikan masin itu enam bulan lalu.

Mohd Nor Ibrahim mnyusun ikan masin di dalam rumah jemuran solar di Jalan Ayer Molek, Kampung Ramuan China Besar sejak enam bulan lalu.

“Sebelum ini, ketika mula-mula menjual ikan masin, sehari hanya mampu hasilkan empat atau lima kilogram sehari kerana perlu bergantung pada cuaca panas terik yang tidak menentu.

“Kalau hujan dan menjelang malam, kena angkat ikan dan jemur semula bila panas yang memerlukan banyak proses kerja kami suami isteri sambil dibantu anak-anak.

“Tapi dengan adanya rumah jemuran ini, malam dan hujan pun boleh ditinggalkan malah tidak perlu bimbang dihinggapi lalat kerana ianya tertutup sekaligus menjamin kebersihan produk,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Jalan Ayer Molek, Kampung Ramuan China Besar.

Menurut Mohd Nor, bantuan bernilai RM62,000 berupa dua set rumah jemuran yang turut diberikan kepada seorang lagi nelayan lain itu amat membantu golongan nelayan terutamanya ketika musim hujan ketika ini.

Jelasnya, rumah jemuran itu diperbuat daripada kerangka besi dengan bumbung lut sinar yang dilengkapi sistem penyimpanan tenaga solar bagi menghidupkan kipas.

“Pada waktu panas, ia akan bergantung kepada cahaya terik matahari, manakala kipas akan dihidupan bagi mengekalkan suhu haba untuk jemuran pada waktu malam,” katanya.

Kaedah jemuran solar semakin popular dalam kalangan pengusaha di Melaka.

Tambahnya, dengan nilai bantuan sebanyak itu, mereka juga juga dibekalkan peti sejuk beku, mesin pembungkusan plastik dan bekas khas untuk kegunaan menyimpan ikan.

“Memang sangat bersyukur kerana kini tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan kaedah lama bersesuaian dengan peredaran zaman sehingga lebih meyakinkan pelanggan.

“Alhamdulillah, sejak menggunakan kaedah ini, semakin ramai kerana tahu tiada lagi risiko ikan masin dibeli dihurung lalat atau dipijak haiwan lain kerana dijemur dalam ruang tertutup,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast