Ahli Dewan Negeri Negeri (ADUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK 13 DISEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud berkata, inisiatif itu melibatkan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) iaitu elaun mencari pekerjaan bagi tempoh tiga hingga enam bulan tertakluk kepada syarat kelayakan caruman.

Jelas beliau, jumlah EMP yang dibayar adalah berdasarkan Gaji Bulanan Anggapan pada kadar 80 peratus bagi bulan yang pertama; 50 peratus bagi bulan yang kedua; 40 peratus bagi bulan yang ketiga dan keempat dan 30 peratus bagi bulan yang kelima dan keenam.

“Inisiatif lain adalah Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) iaitu elaun yang dibayar kepada Orang Berinsurans yang kembali bekerja semula di mana kadar bayaran EBSA adalah sebanyak 25 peratus daripada baki EMP dan dibayar secara pukal.

“Selain itu, turut disediakan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) iaitu elaun yang disediakan kepada Orang Berinsurans yang bekerja dengan lebih daripada satu majikan dan telah kehilangan pekerjaan daripada salah satu majikan tersebut di mana kadar dan tempoh bayaran adalah sama dengan EMP.

“Program Penjana Kerjaya 3.0 di bawah PEMULIH pula adalah insentif kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja berusia 40 tahun keatas, Orang Kelainan Upaya, lepasan sekolah dan graduan selain perluasan insentif pengambilan pekerja di bawah Program KerjayaGig,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan A. Sivanesan (PH-Sungkai) dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Saidi menambah, menerusi JaminKerja iaitu Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan para majikan yang menggajikan individu yang tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya.

“Bagi golongan rentan pula, majikan layak menerima insentif sebanyak 30 peratus untuk
enam bulan pertama, sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi enam bulan berikutnya.

“Kadar insentif yang sama turut akan dipanjangkan bagi pengambilan pekerja golongan wanita yang telah mengganggur melebihi tempoh setahun, ibu tunggal dan suri rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Saidi memberitahu, berdasarkan statistik yang direkodkan oleh
PERKESO di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), jumlah anak Perak yang telah kehilangan pekerjaan bagi tempoh Mac 2020 sehingga November bulan lalu, adalah seramai 3,643 orang.

Ujarnya, jumlah itu dipengaruhi oleh faktor penutupan beberapa sektor seperti sektor perkilangan, perkhidmatan dan perhotelan akibat daripada penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette