R. Ganesan dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan menipu membabitkan nilai lebih RM3.6 juta.

Tertuduh, R. Ganesan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tertuduh menghadapi 14 pertuduhan menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM3.4 juta daripada 12 individu hasil daripada aktiviti haram ketika berkhidmat sebagai pegawai penasihat kewangan sebuah bank.

R. Ganesan dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan nilai RM3.4 juta.

Manakala bagi pertuduhan menipu pula, tertuduh didakwa dengan niat menipu dan memperdayakan seorang wanita untuk menyerahkan wang berjumlah RM240,000 bagi tujuan pelaburan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Taman Inderawasih Perai di sini, antara 22 Ogos 2017 hingga 7 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan penggubahan wang haram, Ganesan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan menipu pula, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan bersalah boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

R. Ganesan dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Terdahulu, Muhammad Syeqal tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukan, namun Pyara merayu jaminan diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin bagi 15 pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 22 Disember ini bagi sebutan semula kes menipu manakala 17 Januari depan untuk sebutan semula kes pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette