Lim Ban Hong

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.63 juta bagi memperkukuhkan industri halal negara bagi tahun 2022.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, jumlah ini merangkumi projek-projek di bawah MITI, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Jabatan Perdana Menteri.

“Pembangunan industri halal akan dilonjakkan melalui pelan induk insdustri halal 2030 yang menggariskan tujuh teras strategik dengan memberi tumpuan terhadap penghasilan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi di sepanjang rantaian bekalan halal.

“Langkah dan usaha ini dijangka akan meningkatkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada tahun 2025 berbanding 6.6 peratus dan RM30.5 bilion pada tahun 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan daripada Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju).

“Projek-projek pembangunan industri halal yang dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk mempertingkatkan industri halal melalui beberapa perkara.

“Pertama adalah projek pembangunan kompensi modal insan dan pengetahuan sektor halal yang merangkumi aktiviti menginstitusi dan pembangunan kandungan ke arah  kompentesi modal insan dan pengetahuan industri halal Malaysia.

“Kumpulan sasar adalah bakat dalam industri halal dan juga institusi- institusi berkaitan indutri halal negara.

“Jumlah peruntukan bagi program ini adalah sebanyak RM 10 juta, di mana RM100,000 telah diperuntukkan bagi tahun 2021,” katanya.

Katanya lagi, perkara kedua adalah projek Halal Home Grown Halal Champion – Sourcing Partnership.

“Ia merangkumi intervensi dan fasiliti pembangunan kapasiti dan trasnformasi keupayaan syarikat- syarikat halal tempatan yang dikenalpasti berdaya maju dengan berpandukan maklumat jurang dan penambahbaikan oleh rakan strategik Halal Development Corporation Berhad (HDC).

“Jumlah peruntukan untuk program ini adalah sebanyak RM6 juta dan RM1 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2021,” katanya lagi.

Perkara ketiga yang diberi penekanan adalah Malaysia Halal yang merangkumi aktiviti penyediaan platform untuk produk halal daripada syarikat halal tempatan.

“Syarikat ini memenuhi syarat untuk pasaran produk antarabangsa yang menjadi fokus.

“Peruntukan untuk ini adalah sebanyak RM3 juta dan RM1.1 juta telah diperuntukkan untuk tahun 2021,” katanya. -MalaysiaGazette