PUTRAJAYA – Satu himpunan secara besar-besaran dijangka diadakan pada 31 Disember ini sekiranya kerajaan masih gagal menangani isu berkaitan kenaikan harga barang.
Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, himpunan itu berkemungkinan diadakan di ibu negara, namun lokasi sebenar masih belum diputuskan setakat ini.
“Andai kata kerajaan tidak mengambil langkah segera bagi menurunkan harga barang (maka) pada 31 Disember ini kita akan adakan himpunan secara besar-besaran di Kuala Lumpur, cuma lokasinya kita belum putuskan.
“Kita hendak maklumkan awal bahawa pada 31 Disember nanti kita akan gerakkan seluruh rakyat yang terkesan disebabkan kenaikan harga barang untuk kita adakan himpunan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama sekumpulan Pemuda Amanah hadir bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengandungi desakan-desakan supaya kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan kenaikan harga barang yang semakin membebankan rakyat.
Mohd Sany yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer itu berkata, bagi mengelak harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat secara mendadak, kerajaan menerusi kementerian berkaitan harus mencari solusi yang konklusif serta efektif.
“Kita mahu kerajaan mengambil satu sikap atau tindakan yang segera untuk menurunkan harga barangan kerana makanan rakyat misalnya kobis, kangkung, ikan kembung, ikan selar serta berbagai-bagai lagi masih belum terkawal.
“Sebab itu kita harapkan kerajaan yang ada pada hari ini tolong lah rakyat, ambil tindakan dan bermesyuarat lah segera untuk menurunkan harga barangan keperluan harian yang naik mendadak sekarang ini.
“Seperti saya sebutkan tadi, ada kenaikan yang satu peratus sehingga 120 peratus, jadi besar harapan dan cita-cita kami yang mewakili rakyat keseluruhannya agar kerajaan yang ada dapat melihat kepada soal kesukaran dan derita rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette