KUCHING – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tindakan undang-undang oleh tiga belia Sarawak untuk menggunakan hak mengundi mereka di bawah Undi18 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, dan memutuskan bahawa hak mengundi automatik tidak bermakna boleh berlaku dengan serta-merta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai berkata, di bawah peraturan pilihan raya atau yang baharu (Undi18) yang akan berkuat kuasa pada 15 Disember, terdapat proses yang perlu diikuti sebelum seseorang berumur 18 tahun didaftarkan dalam senarai boleh mengundi.

“Pendaftaran pemilih automatik tidak bermakna pendaftaran pengundi boleh berlaku dengan serta-merta,” katanya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman yang difailkan oleh Avril Clarice Chin Ning, 18, dan Ivan Alexander Ong dan Addam Johanson Jeremy Shayne, kedua-duanya 19,  terhadap Pendaftar Pemilih Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Tindakan undang-undang itu dibuat berikutan pewartaan Undi18 pada 15 Disember, manakala PRN Sarawak pada 18 Disember menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini kali terakhir pada 2 November.

Dalam permohonan itu, ketiga-tiga belia berkenaan antara lain memohon pengisytiharan bahawa mereka akan menjadi warganegara yang berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan selepas 15 Disember tahun ini, untuk membatalkan Notis Pilihan Raya (pengundian ditetapkan pada 18 Disember) dan membatalkan Notis Daftar Pemilih (yang diwartakan pada suku kedua tahun ini).

Mereka juga memohon perintah yang bersifat mandamus untuk mengarahkan responden mengambil langkah segera untuk memastikan pemohon (belia) dan warganegara lain yang berhak mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dimasukkan ke dalam daftar pemilih tambahan untuk pilihan raya negeri akan datang dan sebagainya.

Pemohon diwakili peguam Clement Wong, George Lo dan Simon Siah manakala Peguam KAnan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewkaili SPR. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast