Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang membuka pejabat penasihat pertahanan baharu di Mesir bagi mendukung Kertas Putih Pertahanan yang menitikberatkan usaha ke arah diplomasi pertahanan, sama ada pada peringkat bilateral dan multilateral.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, pihaknya turut mengkaji keperluan untuk menggunakan Penasihat Pertahanan Malaysia (Malawakil) sedia ada di Pejabat Perwakilan Malaysia berhampiran.

Jelas beliau, ia meliputi Malawakil di Riyadh, Arab Saudi atau Ankara, Turki untuk diakreditasi ke Mesir bagi membantu urusan berkaitan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Mesir.

“Malaysia sebelum ini tidak pernah membuka Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir, hanya terdapat atase (penasihat pertahanan) di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Asia Barat.

“Walau bagaimanapun, cadangan mewujudkan Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir adalah cadangan yang baik.

“Pembukaan Pejabat Penasihat Pertahanan ini dilihat sebagai usaha negara mendukung kertas putih pertahanan yang menitikberatkan usaha ke arah diplomasi pertahanan, sama ada pada peringkat bilateral dan multilateral.

“Ianya berpotensi untuk memperluaskan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan seperti latihan ketenteraan, pendidikan ketenteraan dan industri pertahanan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan semula atase tentera di Mesir bagi membantu memudahkan kemasukan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia ke Gaza untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Menjawab soalan tambahan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) berhubung penubuhan pejabat Penasihat Ketenteraan yang baharu di seluruh dunia, beliau berkata, kerajaan ketika ini belum merancang untuk membuka Pejabat Penasihat Pertahanan yang baharu kecuali di Kaherah, Mesir.

“Buat masa ini, kita di seluruh dunia mempunyai 22 Penasihat Pertahanan, ia termasuk di seluruh ASEAN. Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan sedang dalam proses untuk melaksanakan rancangan akreditasi bagi beberapa Penasihat Pertahanan ke beberapa buah negara.

“Antaranya Penasihat Pertahanan di Malawakil Ankara ke Qatar; Malawakil Moscow ke Belarus; Malawakil Paris ke Belanda; Malawakil Riyadh ke Jordan dan Oman; Malawakil Washington ke Kanada dan Malawakil Yangon ke Bangladesh.

“Pada masa kini, terdapat dua buah negara telah memberi kelulusan untuk akreditasi Penasihat Pertahanan Malaysia ke negara mereka iaitu akreditasi Penasihat Pertahanan di Yangon, Myanmar ke Bangladesh dan juga akreditasi Penasihat Pertahanan di Washington, Amerika Syarikat ke Kanada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast