Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 disember 2021. Foto URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK 13 DISEMBER 2021

IPOH – Kerajaan Perak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan
beberapa perkhidmatan sebagai langkah dalam memberi bantuan dan khidmat sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ia melibatkan khidmat nasihat berkaitan keganasan rumah tangga, mendapatkan Perintah Perlindungan dan diberikan bantuan kaunseling oleh Pegawai Psikiologi dan Kaunselor JKM.

Jelas beliau, selain turut disediakan, perkhidmatan perlindungan di tempat perlindungan dan tempat selamat serta dirujuk kepada jabatan dan agensi lain yang berkaitan
seperti Mahkamah Syariah, Pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Biro Bantuan Guaman.

“Bagi menangani isu keganasan rumah tangga, JKM mengambil tindakan kepada kes yang
dilaporkan, dengan mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).

“Menerusi akta ini, kerajaan memperuntukkan perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Wan Norashikin menambah, tindakan turut dijalankan bersama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah dan agensi yang
berkaitan bagi memastikan segala bentuk keganasan rumah tangga dapat dibendung dengan segera.

Ujar beliau, antara perkara yang diberi tumpuan oleh pihak kementerian adalah,
penambahbaikan prosedur dan garis panduan untuk agensi kerajaan mengendalikan kes keganasan rumah tangga serta panduan dalam kalangan mangsa mengenai hak mereka dan memudahkan akses kepada bantuan perlindungan yang disediakan agar ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Katanya, JKM turut mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam membangunkan bahan promosi bagi meningkatkan kesedaran tentang isu berkaitan keganasan rumah tangga dan menekankan tentang keperluan sokongan psikologi berterusan kepada mangsa melalui Talian Kasih 15999.

“Bermula tahun 2010 sehingga November 2021, statistik bilangan kes keganasan rumah tangga yang menerima perkhidmatan JKM dan dimasukkan ke tempat selamat adalah sebanyak 33 kes.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, sedang berusaha ke arah perluasan tempat selamat di bawah JKM dan tempat berlindung di bawah badan bukan kerajaan (NGO) bagi menampung keperluan mangsa yang terlibat dalam keganasan rumah tangga,” katanya.

Wan Norashikin berkata, berdasarkan statistik JKM Perak, sebanyak 133 kes keganasan rumahtangga telah dilaporkan. – MalaysiaGazette