PENNSYLVANIA – Seorang wanita yang dimasukkan untuk rawatan akibat positif Covid-19 di hospital di Philadelphia terpaksa mengharungi saat menyedihkan dalam kehidupanya.
Ini kerana, wanita itu terpaksa dipotong kedua-dua tangan dan kakinya selepas berlaku pembekuan darah agak kritikal dalam badannya akibat Covid-19.
Candice Davis, 30, telah dikejarkan ke hospital di selatan Philadelphia beberapa hari selepas dikesan positif Covid-19 pada 17 Ogos lalu.
Wanita itu telah dirawat untuk Covid-19 selama tiga minggu di wad hospital dengan sokongan alat bantuan pernafasan walaupun tidak mempunyai sebarang sejarah dan latar belakang penyakit kronik.
Keadaan kesihatan Davis bertambah kritikal apabila mengalami komplikasi jantung dan pembekuan darah di seluruh badannya.
Doktor kemudian memindahkan pesakit itu ke mesin ECMO (extracorporeal membrane oxygenation), yang digunakan untuk mengepam oksigen terus ke dalam darah.
Walaupun, pada satu ketika pesakit itu dapat bangun, kekurangan peredaran darah pada kedua-dua tangan dan kakinya meletakkan nyawanya dalam risiko.
Emaknya Paige yang menerima berita itu membenarkan doktor untuk memotong kedua-dua tangannya di bawah sesiku dan kedua-dua kaki dari paras bawah lutut.
“Sangat mengejutkan dan menakutkan melihat nasib anak saya begini.
Saya kerja di hospital dan terpaksa membiarkan anak saya mengharungi keadaan menyedihkan..saya hanya mampu mendoakan kesihatannya kembali pulih,” kata Paige.
Katanya, setelah melihat nasib Candice, keluarga itu memulakan kempen kesedaran mengenai pentingnya megambil suntikan vaksinasi Covid-19.
Sebelum ini, katanya, Candice merancang untuk mengambil vaksin namun kesibukan jadual kerja padat telah mengekangnya.
“Dia memang mahu mendapatkan suntikan vaksin tetapi tidak sempat.
“Nasihat saya kepada mereka yang sedang berfikir panjang untuk mengambil vaksin, segera dapatkan suntikan jika tidak mahu kehilangan anggota badan seperti Candice,” keluh Paige. – Metro.co.uk