Reaksi kecewa pemain JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano selepas gagal menjaringkan gol pada perlawanan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC sempena pembukaan Liga Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tonggak import pasukan itu, Gonzalo Cabrera akan meninggalkan kelab itu pada musim depan.

Ini bermakna tiada lagi aksi pemain sayap prolifik dari Argentina itu bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia musim depan sejak menyertai Harimau Selatan pada tahun 2017.

Beraksi selama lima tahun, Cabrera juga adalah calon pemain naturalisasi sepertimana yang didedahkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Disember tahun lalu.

Namun, perancangan itu nampaknya seperti tidak menjadi kenyataan berdasarkan kenyataan rasmi mengenai perpisahan dengan pemain itu.

“Ia merupakan sebuah pengalaman bersama yang akan sentiasa dikenang, memenangi pelbagai trofi dan menjaringkan begitu banyak gol untuk menjadi penjaring terbanyak Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim sepanjang zaman untuk Liga Super Malaysia (43 gol) dan Kesemua Pertandingan (66) dalam 152 penampilan sejak 2017.

“Sudah tiba masanya untuk berpisah tetapi ianya merupakan penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” kata satu hantaran di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Sepanjang bersama JDT, Cabrera telah menjaringkan 43 gol dalam 90 penampilan bersama Harimau Selatan dan memenangi pelbagai trofi seperti Liga Super sebanyak lima kali (2017-2021),  Piala Sumbangsih (2018-2021) dan Piala Malaysia dua kali (2017 & 2019).

Dari segi pencapaian individu, dia juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan pilihan PFAM dan kerap berada dalam pencalonan pemain import terbaik untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Dengan ketiadaan Cabrera, JDT dijangka akan membawa masuk pemain import yang lebih berkualiti di posisi sayap musim depan. – MalaysiaGazette