Logo Bomba

NILAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB), kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Mohammad Hamdan berkata, beliau percaya JPA sentiasa mengambil perhatian terhadap kebajikan anggota bomba di negara ini dan permohonan tersebut masih dalam proses pertimbangan jabatan berkenaan.

“Kami sentiasa mempunyai ruang untuk berunding dan libat urus dengan JPA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Majlis Terima Sijil Pentauliahan Kor Siswa Bomba Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kepada kerajaan agar mengkaji semula elaun BIB JBPM sebanyak RM110 sebulan kerana tidak setimpal dengan bebanan dan risiko kerja anggota badan beruniform itu.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, JBPM sedang dalam proses menaikkan pangkat Allahyarham Mohd Firdaus Sulaiman secara ‘posthumous’ atau anumerta daripada pangkat Keselamatan Bomba (KB)19 ke KB 22.

Katanya, Allahyarham seorang anggota yang berdedikasi dan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik sehingga sanggup menggadaikan nyawa demi keselamatan dan kesejahteraan orang lain.

Mohd Firdaus, 32, meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor pada 4.10 pagi semalam akibat kecederaan parah terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di daerah itu pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, seramai 12,500 anggota JBPM ditugaskan di 324 balai bomba sebagai siap siaga menghadapi banjir dan bencana alam di beberapa lokasi panas di negara ini.

Katanya selain Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, tumpuan kini turut diberi pada negeri lain yang berpotensi berlaku banjir seperti Selangor berikutan ketidaktentuan cuaca.

Selain itu, pihaknya juga sedang mengatur strategi menerusi rondaan dan penilaian risiko bagi lokasi yang mempunyai cerunan berbahaya serta jalan raya yang berpotensi terjejas akibat banjir.

Katanya JBPM menyediakan lima pesawat di Semenanjung serta dua pesawat di Sabah dan Sarawak bagi tujuan memantau dan menyelamat di kawasan berisiko banjir. – Bernama