Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Mahasiswa Marhaen kecewa dengan maklum balas para pemimpin negara berhubung kenaikan harga barangan keperluan rakyat dan menambah ia menambah beban sedia ada.

Paling dikesali bagaimana Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyebut kenaikan harga barang di Malaysia tidaklah seteruk negara lain lalu membandingkan Malaysia dan Mesir.

Sikap membandingkan itu sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah malah memperkecilkan permasalahan yang dihadapi rakyat Malaysia, katanya.

”Adakah pada pandangan timbalan menteri, dengan membandingkan masalah rakyat Malaysia dan Mesir, rakyat akan lebih bersyukur, sekali gus tidak kisah jika terpaksa mengikat perut?

”Kenyataan dangkal seperti ini sayangnya tidak hanya keluar dari mulut seorang ahli kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahasiswa Marhaen juga menyifatkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebagai tidak bertanggungjawab apabila menyatakan kenaikan harga barang masih lagi normal.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab ini mengisyaratkan satu sikap kerajaan yang sambil lewa dalam menyelesaikan masalah rakyat,” ujar beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula hanyalah mengulangi tentang faktor orang tengah dalam isu kenaikan harga barang.

Hal yang sama juga dapat dilihat dalam idea bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Beliau mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa Kabinet bagi menyelesaikan isu ini

“Sewaktu beliau menjadi perdana menteri sememangnya gemar menubuhkan jawatankuasa yang akhirnya tidak memberikan hasil yang signifikan.

”Apalah gunanya ditubuhkan jawatankuasa tersebut jikalau menteri-menteri itu tidak mampu untuk menguruskan kenaikan harga barang atas kapasiti penuh mereka sebagai menteri? soal sekretariat itu lagi,” katanya.

Mahasiswa Marhaen berkata, pada mereka yang tidak pernah berlapar, sudah pastinya tiada empati terhadap nasib marhaen yang makan minumnya sentiasa bergantung kepada harga barang.

Oleh itu, ia mengingatkan bahawa kerajaan ialah wakil kepada rakyat dan bertanggungjawab penuh terhadap permasalahan rakyat.

Sikap tidak proaktif dan sambil lewa ini merupakan sikap yang khianat terhadap amanah yang diberikan rakyat.

You are the government, act as one (Anda adalah kerajaan, bertindaklah selayaknya,” ujar sekretariat itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast