JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang dikatakan telah mendera sehingga mengakibatkan kematian anak lelakinya berusia lima tahun didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini.
Tertuduh, R Kaleswary, 35, yang juga bekas pekerja pembersihan didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 9 pagi hingga 12.20 tengahari di rumah kedai, Taman Tan Sri Yaakub di Iskandar Puteri di sini pada 3 Disember lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, suspek didakwa dengan sengaja mengakibatkan kematian ke atas kanak-kanak lelaki, Samsoon Paul berusia lima tahun bersama teman lelakinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nurmadiana telah menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.
Tertuduh tidak dibenar diikat jamin.
Terdahulu, Kaleswary bersama teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menganiaya Samsoon Paul hingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan.
Mereka didakwa bersama-sama antara bulan April 2021 hingga 3 Disember lalu di sebuah rumah kedai di Iskandar Puteri di sini pada 3 Disember lalu.
Mereka didakwa menganiaya kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Pada 4 Disember lalu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa penderaan ibu kandung di Iskandar Puteri.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini dengan kecederaan di mulut serta lebam di seluruh anggota badan.
Mangsa dibawa sendiri oleh ibu kandungnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Polis kemudiannya menjumpai getah paip di sinki bilik air, batang kayu dan poly pipe atas sofa dan kesan darah di rumah berkenaan.
Susulan laporan kematian itu, polis menahan pasangan kekasih berkenaan kerana disyaki mendera mangsa.
Pemeriksaan rekod lampau terhadap kedua-dua individu itu didapati, mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera kakak mangsa sebelum ini.-MalaysiaGazette