ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing pada sidang media selepas selesa Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak tidak memerlukan Belanjawan 2022 yang populis untuk menarik perhatian rakyat kerana istilah itu tidak lagi membawa manfaat ketika berdepan mentadbir negeri dalam suasana pasca pandemik Covid-19.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata apa yang penting, kerajaan negeri perlu perlu merangka bajet yang mengikut fakta, holistik dan relevan.

Menurut pemimpin pembangkang dari PKR itu, tidak guna membentangkan bajet populis namun akhirnya kerajaan negeri sebenarnya kekurangan hasil untuk melaksanakan program-program pada tahun depan.

“Pada pendapat saya, istilah populis itu tidak membawa manfaat lagi. Yang penting kerajaan negeri perlu merangka bajet yang mengikut fakta, holistik dan relevan.

“Ertinya jangan bercakap besar jika tiada hasil, menyatakan program-program mega dan ada lagi projek gajah putih yang tidak membantu.

“Untuk itu kita sama-sama berikhtiar antara kerajaan dan pembangkang dengan melihat kemungkinan ada hasil baharu buat kerajaan negeri dengan jumlah terhad untuk dimanfaatkan semua rakyat,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di Bangunan Peral Darul Ridzuan di sini hari ini.

ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Belanjawan 2022 berjumlah RM1.1 bilion.

Peruntukan belanjawan tersebut bagaimanapun mengalami penyusutan berbanding tahun lalu yang berjumlah RM1.215 bilion.

Saarani berkata, peruntukan Belanjawan 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta.

Beliau berkata, Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai bajet defisit RM50 juta berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.06 bilion serta perbelanjaan yang dirancangkan.

Mengulas lanjut, Kar Hing bersetuju dalam keadaan kerajaan negeri kekurangan hasil, maka mereka perlu berjimat-cermat berbelanja pada tahun depan

Namun pada masa sama, kata beliau, Kerajaan Perak perlu mencari jalan menambahkan hasil untuk mentadbir dengan menjalankan program-program kepada rakyat.

“Dalam Bajet Perak tahun depan, kerajaan banyak bergantung kepada cukai tradisional dan konvensional sahaja iaitu tanah, tunggakan, bahan batu dan perlombongan namun ada tujuh jenis cukai baharu yang diumumkan oleh menteri besar dikatakan akan menambah dan memperkukuhkan kewangan negeri.

“Tetapi kami tidak tahu unjuran tersebut. Jadi kalau tidak dapat angka yang tepat agak sukar untuk kita melihat perancangan ini pada tahun depan.

“Kalau unjuran itu tidak ada dan katakan pada Januari dan Februari depan dapat angka yang lebih tepat, tidak salah kerajaan negeri memanggil sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Khas bagi satu bajet tambahan untuk menampung banyak program-program lagi.

“Kalau program kurang, barisan exco tidak boleh menunjukkan prestasi bagus. Jadi tidak akan kelihatan exco yang memainkan peranan di lapangan dan menjadi persepsi di kalangan rakyat kerajaan negeri tidak memainkan peranan dan program kurang. Itu akan ada tanggapan kurang baik kepada kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast