Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menunjukkan barang yang berjaya dirampas dalam satu kes samun ragut Geng 'Dubuk' ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

KLANG – Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes ragut di sekitar Klang Selatan dengan penahanan empat lelaki ahli kumpulan Geng Dubuk Samun Ragut dalam beberapa tangkapan di sini pada 9 Disember lalu.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang warga emas pada 25 September lalu.

“Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu, seorang lelaki berumur 55 tahun berjalan kaki seorang diri di Lorong Resak, Taman Palm Grove di sini telah didatangi dua lelaki dari arah belakang yang menaiki motosikal.

“Kedua-dua suspek terbabit bertindak meragut beg sandang di bahu pengadu dan kemudiannya melarikan diri.

“IPD Klang Selatan telah membuat tangkapan empat lelaki di beberapa lokasi di Klang dan turut merampas empat telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang disyaki curi,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menunjukkan barang yang berjaya dirampas dalam satu kes samun ragut Geng ‘Dubuk’ ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

Kesemua tangkapan yang berusia 26 hingga 42 tahun itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Geng Dubuk Samun Ragut yang diketuai oleh Oyds B1 telah bergiat aktif sejak Julai 2021 dalam melakukan jenayah samun jalanan seperti samun serta ragut di sekitar kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan.

“Semakan lanjut mendapati Oyds B1 juga pernah ditangkap atas kesalahan jenayah sama pada 2017 dan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) oleh Polis Klang Selatan.

“Tertuduh juga pernah diletakkan di bawah pengawasan polis di Balai Polis Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang selama dua tahun bermula 1 November 2017 hingga 31 Oktober 2019,” katanya.

Jelasnya, modus operandi kumpulan itu dengan bergerak secara berdua dan juga berseorangan untuk melakukan jenayah.

“Kumpulan ini menyasarkan mangsa dalam kalangan wanita dan warga asing yang bergerak secara bersendirian pada satu-satu masa.

“Kesemua tangkapan telah direman pada 10 Disember lalu di Mahkamah Majistret Klang dan reman pertama dibenarkan selama lima hari bermula 10 hingga 14 Disember.

“Manakala sambung reman pula dibenarkan lima hari bermula 15 hingga 19 Disember,” katanya.

Katanya lagi, hasil saringan awal ujian kencing bagi kesemua suspek didapati negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan ke atas keempat-empat tangkapan ini bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes lain serta mengesan barang kes berkaitan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette