SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang merekodkan kutipan bayaran saman berjumlah RM176,478 sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula Khamis lalu hingga semalam.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, kebanyakan saman yang dibayar membabitkan kesalahan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).
Jelas beliau, pembayaran kompaun melibatkan kenderaan syarikat lebih banyak berbanding individu sepanjang tempoh tawaran diskaun dilaksanakan.
Kata Adenan, berdasarkan rekod pihaknya juga terdapat individu yang tampil menyelesaikan saman tertunggak sejak 10 tahun lalu.
“Hari kedua (Jumaat) dan ketiga (Sabtu) mencatatkan jumlah pembayaran saman yang tinggi namun keadaan di kaunter pembayaran saman pada masa ini terkawal serta tidak sesak dengan orang ramai seperti sebelumnya.
“Kita tidak menolak kemungkinan tidak sesak susulan orang awam mempunyai banyak saluran untuk melakukan pembayaran selain tempoh tawaran diskaun dilanjutkan.
“Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai untuk merebut peluang tawaran diskaun 80 peratus ini untuk melangsaikan saman tertunggak tanpa menunggu saat akhir kerana bimbang boleh menyebabkan kesesakan sekali gus mereka hilang peluang menikmati tawaran diskaun tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Majlis Penghargaan Buat Media Pulau Pinang di Ibu Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 20 pengamal media dari semua agensi tempatan dirai serta diberikan sijil penghargaan susulan memberikan kerjasama serta liputan berita berkaitan JPJ negeri ini.
Mengulas lanjut Adenan berkata, kaunter pembayaran saman, pembaharuan cukai jalan serta semua urusan transaksi JPJ dibuka sepanjang hari termasuk hujung minggu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang sehingga 31 Disember ini.
“Kita harap orang ramai rebut peluang yang diberikan untuk tampil membuat urusan di semua cawangan JPJ negeri ini agar tiada kesesakan berlaku pada saat akhir,” kata beliau. – MalaysiaGazette