Manchester City terus mengguli carta EPL selepas berpesta gol membelasah Leeds United dengan 7-0 dalam aksi liga awal pagi tadi.BBC Sport

LONDON – Manchester City berpesta gol menentang Leeds United setelah membelasah pelawat 7-0 dalam aksi terbaharu Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Dengan aksi taktikal berkelas dunia di halaman sendiri, pendahulu liga itu terus mengungguli carta dengan melebarkan kedudukan dengan pesaing terdekatnya Liverpool dengan perbezaan empat mata.

Pasukan itu mengumpul 41 mata menerusi 17 perlawanan yang diharungi.

Juara bertahan itu juga memulakan permainan dengan positif apabila mengejutkan pelawat dengan membuka jaringan pertama seawal minit ke-8 menerusi Foden sebelum Grealish menambah gol kedua pada minit ke-13.

Bintang tengah Man City Kevin de Bruyne turut naik dalam carta jaringan apabila meledekkan gol ketiga pasukan pada minit ke-32 sebelum separuh masa pertama berkesudahan 3-0 memihak kepada tuan rumah.

Sejurus separuh masa kedua diteruskan, anak buah Pep Guardiola sudah tidak lagi memberi ruang kepada pasukan pelawat apabila terus mengatur serangan bertalu-talu sehingga memaksa skuad pelawat membuat kesilapan di gawang mereka.

Akibatnya Man City mengambil peluang menggandakan jaringan keempat pasukan pada minit ke-49 menerusi Mahrez sebelum de Bruyne meledakkan gol kedua peribadi dan kelima pasukan semalam.

Aksi mereka tidak terhenti di situ sebelum Jone Stones dan Ake memasukkan dua lagi gol masing-masing pada minit ke-74 dan 78 sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 7-0.

Ia merupakan kemenangan dengan jaringan terbesar untuk Man City pada musim 2021/22 ini. – BBC Sport.com